Ais krim kelapa Nyok tembusi pasaran negara - Utusan Malaysia

Ais krim kelapa Nyok tembusi pasaran negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM 4 Okt. – Ais krim kelapa sering menjadi pilihan rakyat Malaysia sebagai pencuci mulut, namun agak sukar mendapatkannya sehinggakan ramai terpaksa ke negara jiran untuk menikmati keenakannya.

Menyedari hakikat itu, seorang usahawan muda dari Kepala Batas, Mohd. Zabidi Othman, 33, mengambil inisiatif mengeluarkan ais krim kelapa di bawah jenama sendiri iaitu Nyok.

Bermula sejak dua tahun lalu, perniagaan itu yang dibantu isterinya, Nur Izzati Yusoff, 31, kini semakin berkembang malah dia tidak menang ta­ngan untuk meme­nuhi permintaan ter­utama pada musim cuti persekolahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mohd. Zabidi berkata, selain ais krim kelapa, dia juga menghasilkan coconut shake di kilang miliknya di Teluk Air Tawar dekat Butterworth yang se­ring menjadi pilihan pelanggan.

“Saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang ini tetapi belajar dengan beberapa orang yang mengusahakan ais krim sebelum mencuba resipi sendiri untuk menghasilkan adunan ais krim kelapa yang ada sekarang.

“Pada mulanya saya menjalankan perniagaan ini di rumah sebelum menyewa premis kilang di Teluk Air Tawar sejak awal tahun ini bagi pengeluaran yang lebih besar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia bertuah kerana diberikan peluang untuk mene­rima geran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Usahawan Agroprenuer Muda untuk meneruskan perniagaan itu.

Menurutnya, FAMA banyak membuka peluang kepada usahawan muda sepertinya untuk memasarkan produk agar lebih dikenali di pasaran terutama melalui aktiviti anjuran mereka.

“Selain membuka tapak niaga di ekspo atau karnival, saya juga se­ring memenuhi tempahan dalam majlis kenduri dan rumah terbuka di seluruh negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Zabidi juga mendapat pembiayaan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) untuk membuka francais gerai Nyok dan setakat ini memiliki tiga francais di Jawi, Penaga dan Kubang Semang.

“Saya bersyukur mendapat pembia­yaan FAMA serta bim­bingan PNS selain Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan.

“Selain tiga francais di Pulau Pinang, saya turut membuka satu outlet di Alor Setar, Kedah yang turut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.

Ditanya sasaran pada masa depan, Mohd. Zabidi berkata, dalam tempoh tiga tahun pertama, dia mahu menjadi pengeluar ais krim kelapa terunggul di wilayah utara dan memiliki sekurang-kurangnya 15 francais pada tahun depan.

Selain itu, dia juga merancang untuk memperluaskan jenama Nyok ke seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang bagi meletakkan jenama anak tempatan di pasaran negara.

“Keunikan produk ini adalah pada namanya sendiri iaitu Nyok yang pasti­nya memberi kelainan kepada penggemar ais krim kelapa dan coconut shake untuk menikmati air tangan anak tempatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini