KANGAR 4 Okt. – Selain di Kuala Kedah, Terminal Feri di Kuala Perlis di sini sememangnya menjadi tumpuan pelancong sama ada dalam dan luar negara untuk ke Pulau Langkawi.
Berdasarkan statistik, lebih 60 peratus daripada kira-kira lima juta pelancong ke pulau peranginan terkenal tersebut menggunakan perkhidmatan feri di Kuala Perlis.
Justeru, dalam usaha memberi lebih keselesaan kepada pengguna, sistem berpalang automatik diperkenalkan di Terminal Feri Kuala Perlis, mulai Januari tahun depan.
Pengarah Jabatan Laut Wilayah Utara, Kapten Abdul Samad Shaik Osman berkata, pada peringkat awal, sistem berkenaan mula dilaksanakan secara percubaan bermula 1 Oktober lalu.
Katanya, sistem berpalang automatik berkenaan diperkenalkan bagi menaik taraf sistem pengurusan terminal itu selain memberi keselesaan kepada pengguna feri.
“Jadi sememangnya menjadi tanggungjawab kami untuk menyediakan kawalan masuk penumpang yang lebih sistematik.
“Selain itu, ia juga bertujuan bagi mendapatkan maklumat penumpang feri. Melalui pengimbas ini, kita dapat mengetahui siapa menaiki feri untuk tujuan keselamatan mereka sendiri.
“Sama seperti menaiki kapal terbang, kita perlu memberi maklumat sebelum membeli tiket. Justeru, jika berlaku kejadian tidak diingini, kita tahu siapa penumpang terbabit,” katanya kepada Utusan Malaysia sini baru-baru ini.
Sistem sebelum itu, katanya, penumpang dikehendaki mengisi maklumat diri ketika membeli tiket di kaunter, namun lama-kelamaan ia terpaksa diabaikan apabila keadaan sesak.
“Melalui sistem ini, pembeli perlu mengisi maklumat diri terlebih dahulu jika membeli tiket secara dalam talian. Malah, sistem pembelian tiket di kaunter juga dinaik taraf apabila mereka perlu mengemukakan kad pengenalan atau pasport.
“Melalui kaedah ini, kita dapat mengesan jumlah sebenar penumpang. Kita tidak mahu ada lagi tanggapan bahawa kita menjual tiket lebih sehingga tidak ada kerusi,” katanya.
Sementara itu, Abdul Samad berkata, sistem pengurusan lebih sistematik itu juga bertujuan mendisiplinkan pengguna feri selain mengelakkan kesesakan di dalam terminal.
Katanya, sebagai contoh, jika pengguna datang awal sebelum kaunter tiket dibuka, mereka akan menunggu di dalam terminal sehingga menyebabkan keadaan menjadi sesak.
“Oleh itu, melalui sistem berpalang automatik, hanya pemegang tiket dibenarkan masuk (di dalam terminal) sejam awal. Kita tidak mahu berlaku kesesakan lagi. Kita mahu semua pengguna feri selesa,” katanya.











