Nelayan rayu baik pulih pelantar ikan - Utusan Malaysia

Nelayan rayu baik pulih pelantar ikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI 4 Okt. – Nelayan pantai di Kampung Sungai Baru, Selin­sing di sini memohon kerajaan menaikkan taraf pangkalan di sebelah kiri muara Su­ngai Selinsing yang menempatkan pelantar tempat mendarat ikan kerana terlalu daif.

Kebanyakan nelayan membina sendiri pelantar ikan namun akibat hakisan dan semakin daif, tempat berkenaan tidak selamat untuk digunakan.

Ketua kumpulan nelayan di sini, Mohd. Fadly Yusof, 38, berkata, terdapat kira-kira 50 nelayan pantai di kawasan ber­kenaan yang menjadikan pelantar beratapkan plastik, berlantai serta bertiang kayu sebagai tempat mendaratkan ikan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, keadaan itu membahayakan nelayan dan ke­adaan menjadi tidak selesa jika hujan lebat.

“Selain itu tebing sejauh le­bih kurang 100 meter dari pelantar mulai terhakis akibat ombak dan jika dibiarkan sudah tentu keadaan bertambah serius,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Seorang nelayan, Ishak Ramli, 55, berkata, keadaan pelantar ikan nelayan di sini tidak selamat malah boleh runtuh pada bila-bila masa.

Katanya, ini sudah tentu membahayakan terutama pada waktu puncak apabila peraih dan pembeli datang membeli hasil tangkapan.

“Dahulu pangkalan di se­belah kanan sungai juga daif tetapi dinaik taraf oleh kerajaan terdahulu, kini kami harap kerajaan negeri memberi perhatian ter­hadap keperluan nelayan di sini,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Sulaiman Rashid, 47, berkata, selain tempat mendarat ikan untuk nelayan, penduduk di sini berharap kerajaan membina dewan orang ramai untuk memudahkan me­reka menjalankan aktiviti ke­masyarakatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini