KUALA LANGAT – Pengusaha kilang yang memproses sisa pepejal secara haram akan berdepan dengan tindakan pemotongan bekalan utiliti di premis mereka untuk memastikan mereka tidak kembali beroperasi seperti biasa, kata Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin.
Beliau berkata, tindakan memotong bekalan elektrik dan air premis pengusaha kilang haram mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dilihat efektif bagi mengelakkan mereka terus menjalankan aktiviti itu yang mencemarkan alam sekitar dan menimbulkan risiko kesihatan kepada penduduk yang tinggal berhampiran.
“Selepas ini, kita akan pastikan semua bekalan utiliti (pengusaha kilang proses sisa pepejal secara haram) akan dipotong bagi mengelak mereka beroperasi semula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat sebuah kilang memproses sisa pepejal secara haram di kawasan perindustrian Telok Panglima Garang dekat sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Banting, Lau Weng San.
Dalam pada itu, Bee Yin berkata, banyak pengusaha kilang yang memproses sisa pepejal secara haram di daerah Kuala Langat, Selangor beroperasi dan operasi bersepadu antara kementerian dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Majlis Dearah Kuala Langat, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan penyedia utiliti Tenaga Nasional Berhad akan dijalankan untuk memastikan premis berkenaan tidak lagi menjalankan aktiviti haram itu. – Bernama











