KUALA LUMPUR 4 Okt. – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan bagi membawa pulang jenazah Allahyarham Yahya Ali yang merupakan salah seorang daripada anggota bomba yang lemas di Lombong Taman Putra Perdana, Puchong semalam.
TUDM dalam satu kenyataan memberitahu, jenazah diterbangkan dari Pangkalan Udara Subang ke Lapangan Terbang Sibu pada pukul 2 petang tadi menggunakan pesawat CN 235 dari Detasmen No. 1 Skuadron milik TUDM.
“Pesawat tersebut diterbangkan oleh juruterbang, Mejar Nur Husna Bazlin Rosli dan turut mengiringi jenazah adalah Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Mohammad Mentek serta bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata kenyataan itu lagi, seluruh warga TUDM merakamkan takziah kepada waris di atas pemergian enam anggota bomba berkenaan. – UTUSAN ONLINE











