KANGAR 4 Okt. – Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mempertahan tindakan memindahkan gerai seorang warga emas di Taman Sena Indah, di sini semalam.
Yang Dipertua MPK, Khairin Nazry Karim berkata, pihaknya hanya menjalankan tugas berdasarkan aduan seorang pengadu yang diterima sejak tahun 2016 lagi iaitu kewujudan gerai di depan kediamannya itu telah menggangu keselesaan mereka sekeluarga.
Katanya, selepas beberapa kali menerima aduan daripada pengadu tersebut, mereka mengadakan rundingan dengan peniaga terbabit dan mencadangkan supaya warga emas itu berpindah ke lokasi yang lebih sesuai.
Bagaimanapun katanya, peniaga terbabit tetap berkeras dan enggan berpindah meskipun pihak majlis telah memberikan nasihat secara baik selain notis untuk mengosongkan kawasan berkenaan.
“Kita juga ada mencadangkan lokasi yang sesuai iaitu berhampiran kawasan tersebut antara seperti Dataran Sena yang dilihat lebih sesuai. Kita telah memberikan notis arahan menghapuskan halangan di bawah Seksyen 46(1) a Akta Jalan, Parit dan Bangunan pada tahun 2017 dan terbaharu Julai lalu.
“Selepas peniaga terbabit gagal mematuhi notis tersebut, kita terpaksa mengambil tindakan memindahkan gerai tersebut dan memastikan peniaga berkenaan tidak lagi berniaga di situ.
“Memang diakui peniaga tersebut mempunyai lesen namun ia adalah lesen meja jualan. Bagaimanapun peniaga itu didapati menimbulkan halangan melanggar syarat lesen tersebut,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Semalam, lebih 30 anggota MPK telah mengangkut gerai beroda warga emas tersebut, Jamaluddin Mohamad atau lebih dikenali sebagai Pak Din,68, yang diusahakannya sejak 20 tahun lalu.
Tindakan itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang mengecam langkah yang diambil oleh majlis berkenaan seterusnya menyatakan sokongan kepada Pak Din.
Sementara itu, Khairin Nazry berkata, daripada satu sudut, aduan pengadu itu juga perlu diambil kira kerana telah menerima kesan sejak sekian lama akibat kewujudan gerai berkenaan.
“Mungkin pengadu itu menerima kesan sejak sekian lama akibat gangguan yang timbul disebabkan gerai tersebut yang mencetuskan kesesakkan apabila pembeli memberhentikan kenderaan mereka di kawasan hadapan rumah pengadu.
“Apabila kita siasat memang ada asas aduan itu. Kita kena faham hati pengadu. Bagaimana jika di hadapan rumah kita ada gerai dan kereta para pembeli menghalang laluan di kawasan itu, apa perasaan kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE











