PETALING JAYA – Bekas Ketua Pemuda Malaysia Retail Chain Association (MRCA) yang bergelar Datuk dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan pecah amanah wang milik syarikatnya bernilai RM69,047, tahun lalu.
Tertuduh, Datuk Lee Kim Hock, 35, dan isterinya, Datin Zhong Pei Ling, 32, merupakan warga China bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim S. Mabel Mutiah.
Mengikut pertuduhan, mereka yang merupakan pengarah Syarikat Myorto Footcare Sdn. Bhd. telah diamanahkan dengan harta iaitu 13 keping cek bernilai RM69,047 telah melakukan pecah amanah di Jalan Cempaka, Kampung Sungai Kayu Ara di sini pada Januari 2017.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.











