KUALA LUMPUR – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebudayaan dan Pendidikan Pelajar Indonesia (ISCEF) melalui Program Pertukaran Budaya bagi mendapatkan lebih banyak pemahaman terhadap budaya kedua-dua negara.
Rektor Hal Ehwal Akademik Aswara, Prof. Datuk Dr. Mohd. Rizon Juhari berkata, kerjasama kali kedua itu antara lain bagi mempromosikan keunikan budaya yang menjadi kebanggaan negara dan mempelajari budaya negara jiran.
Menurut beliau, program berkenaan membolehkan pelajar kedua-dua institusi mendalami pelbagai aspek kehidupan seperti bahasa, kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan warisan masing-masing.
“Kita akan memilih 25 orang pelajar untuk memperkenalkan budaya negara di Indonesia. Dengan cara ini, pemikiran pelajar akan menjadi lebih terbuka dan nilai apresiasi terhadap seni budaya akan lebih tinggi.











