BAGAN DATUK 3 Okt. – Kerajaan negeri akan mengatasi masalah longkang berlumpur dan mengeluarkan bau busuk di kawasan kilang yang mengusahakan hasil laut di Bagan Sungai Tiang, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak sekian lama sehingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk.
Menurutnya, masalah itu berlaku disebabkan lumpur dalam longkang tersebut tidak dikorek dan keadaan diburukkan lagi dengan sisa kumbahan dari kilang berdekatan mengalir ke longkang berkenaan.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan agensi berkenaan seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengatasinya secepat mungkin.
“Kita tidak mahu masalah ini menyebabkan penduduk berdekatan tidak dapat hidup dengan selesa, ini tidak adil,” katanya selepas meninjau kawasan tersebut di sini semalam.
Terdahulu Abdul Aziz meninjau masalah pencemaran di Sungai Bernam yang bersempadan dengan Perak dan Selangor.
Menurutnya, berdasarkan tinjauan didapati berlaku hakisan tebing dan sampah sarap yang dibuang ke dalam sungai.
Beliau berkata, tahap pencemaran tidak sampai kritikal, namun usaha harus dijalankan untuk membersihkan sungai tersebut.
Katanya, sehubungan itu, satu pasukan khas yang terdiri daripada pelbagai agensi akan melaksanakan langkah tersebut dengan kerjasama kerajaan Selangor.
“Pencemaran ini menjejaskan hasil kira-kira 200 nelayan sungai yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan.
“Kepentingan mereka perlu dijaga kerana selain pencemaran sisa kilang, kayu yang terdapat di sungai ini menghalang pergerakan bot nelayan,” katanya.











