PORT DICKSON 3 Okt. – Calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickon, Stevie Chan Keng Leong menafikan tuduhan beliau ditaja oleh mana-mana pihak untuk bertanding.
Beliau menyatakan, semua pihak dapat melihat bahawa kempennya bersifat kesukarelaan dan melibatkan kos yang rendah.
“Ada yang kata saya ditaja Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ada yang kata ditaja oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, ada kata UMNO, ada juga MCA.
“Secara tegasnya saya ingin menolak semua dakwaan tidak berasas ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sebagai bukti, jelas Stevie, pasukannya tidak mempunyai kakitangan yang ramai, poster yang canggih dan bilik gerakan yang mewah.
“Malah, jika ada penaja berkepentingan, mereka tidak akan memilih untuk menaja calon seperti saya yang bukanlah calon ‘ideal’, saya ini calon paling bertentangan dengan ciri-ciri calon politik konvensional,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











