SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung kes kematian seorang pesakit wanita, M.Savunthary, 56, pada Januari lalu yang didakwa berpunca daripada kecuaian Hospital Selayang.
Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Khalid Ibrahim berkata, pihaknya telah pun menubuhkan Panel Penyiasat Jawatkuasa Siasatan Bebas pada 25 September lalu bagi menyiasat berhubung kes berkenaan.
“Kementerian Kesihatan mengambil maklum aduan yang tular di laman sosial Facebook bertarikh 2 Oktober lepas berhubung rawatan di Hospital Selayang yang didakwa cuai sehingga menyebabkan kematian pesakit mendiang M. Savunthary.
“KKM memberi jaminan bahawa setiap aduan akan disiasat secara telus mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Namun, hasil siasatan hanya akan dimaklumkan kepada ahli keluarga atau waris pesakit bagi mengawal kerahsiaan maklumat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, tular di media sosial tentang kematian Savunthary yang didakwa datang ke Hospital Selayang sebagai pesakit asma pada 24 Januari lalu tetapi telah disuntik dengan ubat yang salah sehingga menyebabkan kakinya kebas dan meninggal dunia.
Pihak Hospital turut didakwa mengakui bahawa kecuaian dalam perubatan yang diberikan oleh kakitangan yang bertugas merupakan punca utama kejadian itu.
Khalid dalam pada itu menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya didapati berlaku kecuaian semasa pesakit mendapat rawatan di fasiliti kementerian.
“Adalah menjadi keutamaan KKM untuk sentiasa memastikan keselamatan pesakit dan perkhidmatan kepada pelanggan diberi mengikut standard yang ditetapkan tanpa mengabaikan hak-hak pelanggan,” ujarnya. – K! ONLINE











