Polis Klang Selatan rampas 12,800 minuman keras pelbagai jenama - Utusan Malaysia

Polis Klang Selatan rampas 12,800 minuman keras pelbagai jenama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG – Polis Klang Selatan merampas kira-kira 12,800 botol serta tin minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM40,000 dalam dua serbuan di Bandar Bukit Tinggi dan Taman Sentosa di sini tengah malam tadi.

Serbuan bermula kira-kira pukul 11.15 malam itu disertai beberapa anggota dan pegawai daripada Bahagian Operasi Khas (D8) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas mendapat maklumat berkenaan kegiatan haram sekumpulan individu mengedar dan menyeludup minuman keras.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, hasil maklumat tersebut, pihaknya telah menyerbu sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 28 tahun dipercayai menjadi orang tengah dalam urusan jual beli minuman keras terbabit dengan peniaga tidak berlesen.

“Susulan penahanan tersebut, kita kemudiannya menyerbu sebuah lagi rumah teres di Taman Sentosa di sini yang dipercayai menjadi stor menyimpanan minuman keras yang belum lulus kastam kira-kira sejam selepas serbuan pertama. 

“Hasil pemeriksaan di rumah terbabit, kita telah merampas kira-kira 12,800 tin dan botol minuman keras pelbagai jenama termasuk yang disyaki mengandungi methanol berlebihan seperti Grand Royal, King Fisher dan Mandalay,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, pihaknya turut menahan dua lelaki berusia 18 dan 24 tahun disyaki penjaga premis berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal pihaknya mendapati, minuman keras itu diseludup masuk dari India dan premis berkenaan dijadikan stor penyimpanan oleh kumpulan itu sejak dua tahun lalu.

“Kita percaya mereka (suspek) menjadikan rumah terbabit sebagai stor simpanan sebelum diedarkan kepada peniaga-peniaga minuman keras tanpa lesen.

“Semakan mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan judi. Kita turut sedang mengesan seorang lagi suspek yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan,”ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang belum lulus kastam.

Dalam pada itu, Shamsul Amar berkata, sejak Ops Methanol dilancarkan September lalu, pihaknya telah merampas minuman keras bernilai RM100,000 membabitkan empat serbuan berasingan di daerah ini. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini