Lelaki dalam perjalanan hantar isteri ke tempat kerja maut kemalangan - Utusan Malaysia

Lelaki dalam perjalanan hantar isteri ke tempat kerja maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN – Kasih sayang seorang suami menghantar isterinya ke tempat kerja sejauh lebih 75 kilometer dari rumah mereka berakhir dengan tragedi apabila lelaki itu maut dalam kemalangan di Kilometer 70.7, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Batu Tiong di sini hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7.10 pagi itu, Muhammad Izzudin Afendi, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas kereta Proton Wira dinaikinya bersama isteri bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios dipandu seorang guru wanita.

Isteri mangsa, Nurul Baizura A. Bakar, 25, mengalami cedera ringan manakala pemandu Toyota Vios, Rohaznida Abd. Rahim, 39, yang dalam perjalanan untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Abang di sini pula mengalami patah kaki kiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Izzudin dalam perjalanan menghantar isterinya yang merupakan penyelia asrama ke tempat kerjanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Intan Zaharah di sini. 

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu bertolak dari rumah mereka di Kampung Ladang Sehat, Kuala Terengganu manakala Rohaznida yang merupakan seorang guru pula dalam perjalanan ke sekolah dari rumahnya di Pulau Serai di sini.

“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu Muhammad Izzudin yang bekerja sendiri dari arah Marang dikatakan cuba memotong sebuah lori membawa muatan roti sebelum bertembung dengan kereta Toyota Vios dipandu Rohaznida di laluan bertentangan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini