KUALA LUMPUR 3 Okt.- Bakal usahawan perlu berani menceburi perniagaan francais khususnya berskala kecil walaupun berhadapan kekangan modal.
Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Azlina Juliani Abd. Jalil berkata, ini kerana masih wujud tanggapan kononnya perniagaan tersebut hanya dipelopori golongan peniaga dengan modal permulaan yang besar.
“Ingin saya tegaskan persepsi itu sama sekali tidak benar dan perlu dikikis kerana perniagaan francais di negara ini sudah berkembang dan kita mempunyai pelbagai sistem serta jenama termasuk francais mikro yang boleh diceburi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Malah, kerajaan juga membangunkan sistem francais tempatan selain mewujudkan saluran pinjaman dan pembiayaan khas kepada individu berpendapatan rendah dan sederhana untuk menyertai bidang francais mikro yang berisiko rendah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam program Bengkel Buat Duit anjuran PNS dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Berhad, di Ibu Pejabat Utusan, di sini hari ini.
Turut hadir pada program berkenaan , Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu (M) Berhad, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir; Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan dan Ketua Bahagian Operasi Perniagaan PNS, Shamsudin Amir.
Program yang julung kali diadakan itu berjaya menarik seramai 150 peserta yang merupakan salah satu inisiatif menguar-uarkan peranan PNS dalam membuka peluang kepada warga Utusan meneroka peluang baharu dalam bidang keusahawanan.
Sementara itu, PNS juga membawa beberapa usahawan kenderaan saji seperti Nasi Kunyit Mat Rock dan MD Putu Bambi World bagi memberi warga Utusan melihat sendiri dengan lebih dekat produk tempatan yang dibangunkan oleh usahawan-usahawan tersebut.
Menurut Azlina Juliani, program kolaborasi ini dijangka diperluaskan lagi pada masa akan datang bersama agensi-agensi media lain bagi terus berkongsi manfaat dan peluang perniagaan kepada semua golongan dan masyarakat di negara ini.
“Program ini secara tidak langsung membantu mencungkil bakat keusahawanan terpendam golongan media khususnya untuk berkecimpung di dalam bidang perniagaan yang dianggap sebagai budaya yang sudah tidak asing di negara ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










