DUNGUN 3 Okt.-Seorang suami yang dalam perjalanan untuk menghantar isterinya ke tempat kerja maut dalam kemalangan di kilometer 70.7, jalan Kuala Terengganu – Kuantan, berhampiran Kampung Batu Tiong, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 7.10 pagi membabitkan pertembungan dua buah kereta itu, Muhammad Izzudin Afendi, 26 , yang cedera parah disahkan meninggal dunia pada pukul 8.40 pagi ketika mendapatkan rawatan kecemasan di Hospital Dungun.
Turut cedera ialah isterinya Nurul Baizura A.Bakar , 25, yang bertugas sebagai penyelia asrama di Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah di samping seorang guru yang dalam perjalanan ke sekolah.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Baharudin Abdullah yang mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut memberitahu, mangsa yang bekerja sendiri dalam perjalanan dari kediaman mereka di Marang.
“Kejadian berlaku apabila kereta Proton Wira yang dipandu mangsa dikatakan cuba memotong sebuah lori sebelum bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh seorang guru perempuan.
“Mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu, dan isterinya mengalami kecederaan di bahagian kaki dan muka manakala guru terbabit patah kaki kiri.
“Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Dungun yang tiba tidak lama kemudian mengambil masa kira – kira 10 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum dibawa ke hospital,” katanya.
Tambah Baharudin, kes akan disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ ) 1987. – UTUSAN ONLINE










