Ganja RM630,250 dirampas - Utusan Malaysia

Ganja RM630,250 dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Okt. – Polis menemukan sebanyak 252.16 kilogram dadah jenis ganja yang dipercayai cuba dibawa ke Perak untuk diedarkan di sana dengan menggunakan kereta, pagi semalam.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abd. Rahim Jaafar berkata, kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, sepasukan anggota polis dari unit pasukan peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar mengesan pergerakan dua kereta jenis Proton Waja dan Proton Vios dalam keadaan mencurigakan di Jalan Pokok Sena menuju ke Kedondong.

“Kedua-dua kereta itu diarahkan berhenti untuk diperiksa. Begitu pun pemandu kereta jenis Toyota Vios bertindak memecut kenderaannya manakala kereta Proton Waja berjaya ditahan hasil bantuan MPV lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Anggota kami kemudiannya terus mengejar Toyota Vios terbabit. Akhirnya kereta itu terbabas di tepi Jalan Pokok Sena menuju ke Kubur Panjang dengan pemandunya melarikan diri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan terhadap kereta Toyota Vios itu menemukan empat bungkusan diletakkan di tempat duduk belakang manakala dua lagi bungkusan diletakkan di tempat letak barang kenderaan itu.

“Keenam-enam bungkusan itu mengandungi 249 ketulan mampat dipercayai ganja dengan anggaran berat 252.16 kilogram bernilai RM630,250.

“Susulan itu kami turut menahan empat lelaki berusia antara 20 hingga 42 tahun yang menaiki kereta Proton Waja terbabit kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan dadah tersebut,” katanya.

Tambahnya, keempat-empat suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine dengan dua daripadanya memiliki rekod jenayah lampau.

“Seorang daripadanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan berusia 31 tahun didapati memiliki 14 rekod jenayah lampau termasuk dua jenayah narkotik manakala seorang lagi suspek berusia 42 tahun yang bekerja sebagai buruh, memiliki dua rekod jenayah narkotik

“Pemeriksaan terhadap kenderaan terlibat mendapati, Proton Waja tersebut adalah milik salah seorang suspek ditahan manakala Toyota Vios tersebut merupakan kereta klon yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Menurutnya kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 9 Oktober depan dengan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam masa sama, kami telah pun mengenal pasti individu yang memandu kereta Toyota Vios terbabit dan usaha memburu lelaki berusia 30-an itu sedang giat dijalankan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini