KUALA LUMPUR 3 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin ditahan hari ini untuk didakwa di mahkamah dengan lebih 100 tuduhan.
Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa penahanan tersebut adalah bagi menyekat Najib daripada terus bersuara.
“Seperti mana yang semua tahu, Najib kini lantang mengkritik Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan dasar ekonomi negara.
“Saya pernah menjadi pengarah dalam Kementerian Kewangan jadi kami masih mempunyai kawan di dalam sana serta dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis,” katanya ketika ditemui di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Beliau dan beberapa penyokong hadir bagi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu yang hadir bagi memberi keterangan di JSJk sejak pukul 9.40 pagi tadi.
Dalam pada itu, Lokman berkata, beliau juga mendapat sumber bahawa Isteri bekas Perdana Menteri , Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga akan ditahan pada minggu ini. – UTUSAN ONLINE.










