PORT DICKSON – Pasar tani Batu 4, Bagan Pinang di sini menjadi lokasi ‘serangan’ tiga calon termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siri kempen masing-masing pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, untuk meraih undi masyarakat setempat.
Dibuka seawal 7 pagi, lokasi penduduk membeli barangan keperluan harian itu ‘dikejutkan’ dengan kehadiran bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang tiba pada kira-kira 7.50 pagi.
Calon Bebas itu yang berkemeja biru gelap mengambil kesempatan beramah mesra dengan pengunjung pasar pagi selama kira-kira 30 minit sebelum meninggalkan kawasan itu, disusuli setengah jam kemudian dengan kemunculan Anwar.
Calon Bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P132 Port Dickson Saiful Bukhari Azlan (dua, kiri) beramah mesra dengan masyarakat setempat ketika berkempen di Pasar Tani Batu 4 hari ini. – Foto BernamaAnwar meluangkan masa kira-kira 45 minit beramah mesra dan bersarapan dengan pengunjung di pasar tani itu selain cuba mengasah bakat dengan melakukan aksi memasak roti canai yang mendapat sorakan dan tepukan daripada penyokong dan pengunjung lain.
Sebaik Anwar meninggalkan pasar tani, muncul pula calon Pas Mohd Nazari Mokhtar pada 9.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit di situ.
Tapak pasar tani itu menjadi lokasi “wajib” dikunjungi mana-mana calon setiap kali tiba musim pilihan raya memandangkan ia dilihat tempat strategik untuk meraih sokongan.
Peniaga buah, Khairul Afzal Mohd Rais, 36, berkata kehadiran calon yang berkempen di pasar tani itu sedikit sebanyak membantu meningkatkan hasil jualan peniaga.
“Pasar tani ini hari ini sungguh meriah… selain pengunjung datang untuk berjumpa kesemua calon sambil berbelanja, ia juga dapat membantu kami sebagai peniaga menambahkan pendapatan,” katanya kepada Bernama.

Walalupun cuaca panas, orang ramai membanjiri pasar tani itu dan kelihatan teruja dapat bertemu secara dekat dengan ketiga-tiga calon PRK berkenaan, malah ada yang mengambil kesempatan berswafoto dan berbual bersama calon.
PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini menyaksikan pertandingan tujuh penjuru dan turut disertai empat calon Bebas lain termasuk bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. – Bernama










