MELAKA 3 Okt. – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri berjaya merampas dadah bernilai RM1.015 juta dalam serbuan di dua premis berasingan sekitar bandar Melaka di sini, semalam.
Ketua Polis negeri, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, rampasan itu dibuat hasil tangkapan terhadap seorang suspek lelaki berumur 43 tahun pada pukul 9.45 pagi di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Tengkera di sini.
Menurutnya, suspek yang juga seorang penganggur kemudian membawa polis ke tempat simpanan dadah di pangsapuri sama dan menemui dadah jenis heroin base seberat 3,860 gram, pil Eramin 5 sebanyak 6,960 biji dan 137,030 gram kafein selain pelbagai peralatan memproses dadah.
“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah lagi kondominium di Banda Hilir dan polis menemukan dadah jenis heroin (592 gram), ketamin (7,944 gram) dan syabu (100 gram) yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.015 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di Bukit Beruang, di sini sebentar tadi.
Jelas Raja Shahrom, suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN ONLINE











