KUALA LUMPUR 3 Okt.- “Bukan untuk kepentingan peribadi dan semua kutipan perkhidmatan ucapan hari lahir di laman sosial adalah untuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) saya, Wish For Their Hope.”
Demikian tegas pelakon, Janna Nick yang hari ini mengumumkan pertubuhan tersebut sekaligus menangkis tanggapan warganet yang mengecam tindakannya mengutip wang bagi perkhidmatan ucapan hari lahir.
Jelas Janna, dia sudah lama menyimpan azam untuk menubuhkan NGOnya sendiri dan dengan menggunakan status sebagai selebriti popular, dia mahu mengutip dana dengan cara sendiri.
“Saya mahu menggunakan status sebagai artis untuk memberi balik kepada komuniti. Sebab itu saya sengaja diamkan diri bila ada yang kecam kerana mahu tularkan perkhidmatan tersebut.
“Setakat ini saya sudah berjaya mengumpul lebih RM2,000 dalam masa kurang seminggu dan semua kutipan itu diserahkan kepada rumah atau pusat kebajikan yang terpilih,” katanya.
Janna ditemui semasa menyerahkan sumbangan keperluan asas dan wang di Rumah Kasih Nurul Nasuha di sini hari ini.
Sebelum itu, penyanyi Akan Bercinta itu telah memberi sumbangan kepada Rumah Perlindungan Nasuha dan akan memberi sumbangan kepada golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Pelakon dan pengacara popular itu menerima kecaman hebat apabila mengenakan harga RM50 bagi setiap video ucapan hari lahir dan akan dimuat naik di instastorynya.
Dalam pada itu, Janna berkata, dia akan meneruskan perkhidmatan ucapan hari lahir di media sosial dan bersyukur apabila rakan artis lain turut menyokong tindakannnya.
“Alhamdulillah, beberapa rakan artis seperti Mawar Rashid yang menggunakan cara sama untuk mengutip dana bagi NGO tersebut.
“Saya tak tipu peminat atau memaksa mereka untuk menderma. Mungkin RM50 agak kecil bagi segelintir orang, tapi ramai yang merasakan angka tersebut cukup besar,” katanya. – UTUSAN ONLINE











