KUALA LUMPUR 3 Okt. – Peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah hari ini dibenarkan untuk memindahkan kes pengubahan wang haram melibatkan jumlah RM9.5 juta yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan tidak membuat sebarang bantahan.
Bagaimanapun hakim Mahkamah Tinggi mana yang akan mendengar kes itu masih belum ditentukan.
Pada 13 September lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram melibatkan wang berjumlah RM9.5 juta melalui dua keping cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau turut menghadapi dua pertuduhan membuat suatu penyata tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014 dengan meninggalkan pendapatan RM9.5 juta. – UTUSAN ONLINE











