PUTRAJAYA 3 Okt.- Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi memberi keterangan kepada suruhanjaya itu.
Rosmah tiba dengan menaiki kereta jenis Proton Perdana pada pukul 10.42 pagi, beliau dilihat memakai baju kurung berwarna hijau muda serta berselendang dan terus memasuki ibu pejabat SPRM.

Barisan peguam Rosmah yang diketuai, Datuk K. Kumaraendran pula tiba lebih awal iaitu pada pukul 10 pagi.
Menurut sumber, Rosmah dipanggil oleh SPRM bagi memberi keterangan berhubung kes SRC International Sdn. Bhd. iaitu bekas subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain kes penggubahan wang haram.
Ini adalah kali ketiga Rosmah dipanggil untuk memberi keterangan, kali terakhir Rosmah hadir ke ibu pejabat SPRM bagi memberi keterangan ialah pada 26 September lalu dan disoal siasat hampir 13 jam.

Kali pertama Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM ialah pada 5 Jun lalu dan disoal siasat lebih lima jam.
Sebelum ini, media melaporkan Rosmah mungkin berdepan sehingga 20 pertuduhan jenayah yang kebanyakannya membabitkan penggubahan wang haram. – UTUSAN ONLINE











