MANCHESTER 3 Okt. – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho terus menerima kritikan dan kali ini berdasarkan corak permainan yang diterapkannya selepas Red Devils terikat tanpa jaringan ketika menentang Valencia dalam aksi Liga Juara-Juara di Old Trafford, semalam.
Penyokong tuan rumah mengejek taktikal serangan anak-anak buah Mourinho pada babak kedua dan bekas pemain tengah United, Paul Scholes mendakwa pengendali berusia 55 tahun itu memalukan kelab dengan mengulangi kecaman terhadap pemainnya.
Begitu pun, Mourinho tidak cepat melatah sebaliknya dia enggan melayan sebarang kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya.
“Saya tidak berminat. Bebas berucap, negara bebas, anda boleh cakap apa yang anda mahukan.
“Bebas berucap, terutamanya penyokong United dan saya hormatinya 100 peratus,” kata Mourinho.
Ketinggalan sembilan mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan pendahulu, Manchester City dan Liverpool setelah mengalami tiga kekalahan dalam tujuh perlawanan liga, Mourinho mengharapkan sesuatu selepas menyaksikan pasukannya tewas 3-1 kepada West Ham pada Sabtu lalu.
“Saya agak terkejut bahawa jawatannya masih selamat selepas Sabtu lalu, persembahan pasukan teruk. Dia meninggalkan sidang media dan sering menyalahkan orang lain kerana dia tidak dapat apa yang dimahukan.
“Saya fikir mulutnya berada di luar kawalan dan saya fikir dia perbuatannya itu memalukan kelab,” kata Scholes.
Walaupun seri, United kini berada di tangga kedua di belakang pendahulu Kumpulan H, Juventus dengan dua perlawanan menentang kelab gergasi dari Itali itu perlu dihadapi. – AFP











