DORTMUND 3 Okt. – Jadon Sancho berharap reputasinya sebagai senjata sulit Borussia Dortmund dapat membantunya untuk beraksi sebagai kesebelasan utama pasukan bagi menghadapi Monaco dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi esok waktu Malaysia.
Pemain berusia 18 tahun itu mahu dia diberikan peranan utama dalam skuad kendalian Lucien Favre selepas membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Bayer Leverkusen 4-2 pada aksi Bundesliga apabila melakukan dua gerakan gol.
Dia mencipta gerakan gol untuk Marco Reus menyamakan kedudukan sebelum membantu Paco Alcacer meledak gol keempat pasukan dan kemenangan itu membolehkan Dortmund melonjak ke tangga teratas Bundesliga.
Pemain Bawah 19 (B-19) England itu diturunkan sebagai pemain gantian dalam setiap perlawanan Bundesliga bersama Dortmund bagaimanapun dia bermula sebagai kesebelasan utama pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara yang menyaksikan mereka menang 1-0 ke atas Club Brugge.
Selepas membantu enam gerakan gol dan meledak satu jaringan dalam aksi Bundesliga, Sancho mengakui walaupun dia berada dalam keadaan terbaik namun dia tidak mahu beraksi sebagai pemain gantian.
“Saya memerlukan tenaga. Walaupun penat namun saya datang untuk membantu pasukan. Jurulatih kerap menukar pemain dan sebab itu pasukan ini kuat.
“Saya tidak mahu menjadi pemain gantian, namun jika saya terus bekerja keras, diharapkan saya dapat bermain dalam kesebelasan utama,” kata Sancho.
Kejayaannya mencipta enam gerakan gol menjadikannya pembantu gol tertinggi dalam lima liga terkemuka di Eropah pada musim ini. – AFP











