WATAK utama Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melangkah bergaya ke Parlimen, sebelum melenggang ke Putrajaya.
Namun, langkah itu yang pada awalnya dijangka mudah, kini menjadi sukar bila beberapa calon dengan pelbagai watak serta kekuatan muncul.
Watak pertama anak tempatan dan veteran politik, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Jentera kempen Isa ialah rakan-rakan veteran dan rangkaian ini memang dikenali penduduk setempat serta jasa beliau sukar untuk dinafikan.
Sebahagian besar yang terdiri di Port Dickson juga adalah bekas tangan Isa.
Karaktor kedua ialah Mohd Saiful Bukhari Azlan yang pastinya mengingatkan kita kepada kes liwat 2.0 menyaksikan merengkoknya Anwar buat kali kedua di dalam penjara.
Walaupun telah mendapat pengampunan sepenuhnya Yang di-Pertuan Agong selepas Pakatan Harapan memerintah, integriti Anwar tidak banyak sedikit pasti dipertikai dan ragu.
Apatah lagi Saiful telah memberi hujah yang bernas kenapa beliau bertanding.
Menurut Saiful beliau mahu menghalang strategi politik tidak bermoral menodai keyakinan rakyat dan menjejaskan kestabilan negara.
Jika Anwar menang di Port Dickson, beliau akan menduduki tampuk kepimpinan negara.
Beliau bimbang situasi politik yang belum stabil sejak kerajaan baharu dibentuk akan berlarutan dan semakin memburuk.
Kestabilan politik yang kerap digugat dengan sengaja akan menjejaskan ekonomi dan pentadbiran negara kini berada dalam ketidaktentuan.
Kebimbangan itu memang wajar. Anwar pastinya mahu Kabinet sendiri. Jadi apa akan jadi kepada barisan menteri sedia ada?
Para menteri dan timbalan menteri sendiri belum cukup fasih dengan portfolio masing-masing. Diganti pula dengan yang baharu.
Apa pula yang akan terjadi kepada pegawai kerajaan lantikan politik?
Berapa lama lagi kerajaan boleh keluar dari keserabutan ini?
Apakah nasib rakyat?
Calon Pas Mohd Nazari Mokhtar pula merupakan bekas pegawai tinggi tentera membangkitkan isu kebajikan tentera dan keluarga.
Jika lebih 7,000 anggota tentera memutuskan tidak mengundi Anwar, pastinya menjejaskan peluang Presiden PKR itu untuk menang besar.
Tiga lagi calon Bebas akan memecah undi kaum Cina.
Namun kelebihan tetap berpihak kepada Anwar. Watak beliau sendiri sebagai pencetus reformasi sudah cukup.
Pengorbanan beliau menegakkan perjuangan itu bukan hal yang boleh diremehkan.
Tanda nama bakal PM 8, adalah aset terbesar Anwar.
Jika beliau dipilih penduduk Port Dickson bakal diwakili oleh Perdana Menteri kelapan.
Pernah diiktiraf sebagai menteri kewangan terbaik di rantau ini, beliau adalah kunci kepada kombinasi mantap pengurusan dan pentadiran negara yang lebih telus serta berintegriti.
Jadi semuanya terletak ditangan 75,212 pengundi Port Dickson untuk menentukannya.











