MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka bertemu dengan Pengarah Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) merangkap jurulatih skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Lim Teong Kim dalam tempoh terdekat.
Difahamkan, pertemuan tersebut bagi membincangkan tentang isu kontrak dan masa depan jurulatih itu ekoran kegagalan skuad B-16 negara merebut slot Piala Dunia B-17 2019 di Peru baru-baru ini.
“Kementerian sudah sampaikan hasrat untuk berjumpa Teong Kim dalam tempoh terdekat, jadi tunggulah,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi townhall dengan pihak-pihak yang berkaitan dengan sukan permotoran tanah air di Menara Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya semalam.
Minggu lalu, Syed Saddiq memberitahu, kajian semula itu dibuat ekoran jumlah gaji yang diterima Teong Kim iaitu sebanyak RM175,000 sebulan tanpa dikenakan cukai pendapatan adalah sangat tinggi.
Kajian itu perlu dilakukan kerana pihak pengurusan tertinggi pasukan perlu bertanggungjawab terhadap Indeks Prestasi Utama (KPI) yang telah diletakkan iaitu melayakkan diri pada kejohanan berprestij itu.
Sebelum ini, hala tuju Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menjadi topik hangat selepas pertukaran kerajaan pada Mei lalu dengan FAM dikatakan bakal mengambil alih program berkenaan.
Sebagai rekod, NFDP mempunyai lebih 25,000 pelatih berusia tujuh hingga 17 tahun yang menjalani latihan di pusat NFDP seluruh negara yang dibantu lebih 1,000 jurulatih termasuk pelatih elit di AMD Gambang.
Dalam pada itu, Syed Saddiq menjelaskan, beberapa individu akan dicadangkan untuk mengisi beberapa kekosongan sebagai Ahli Lembaga Pengarah Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
“Terdapat beberapa kekosongan selepas ahli lembaga pengarah lantikan politik meletakkan jawatan dan saya ingin mengenal pasti beberapa individu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, bukan sahaja daripada sektor korporat tetapi mereka yang terlibat dalam sukan komuniti sebelum nama diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya.











