PALU, Indonesia – Mangsa gempa bumi dan tsunami di wilayah Sulawesi Tengah kini menderita kelaparan dan dahaga berikutan bekalan makanan dan air sukar diperoleh.
Sekurang-kurangnya 1,234 orang disahkan terbunuh setakat semalam tetapi beberapa pegawai berkata, angka kematian dijangka terus meningkat selepas pasukan penyelamat sampai ke komuniti-komuniti terpencil dan skala kemusnahan akibat bencana itu menjadi lebih jelas.
Sebahagian mangsa terselamat terpaksa menggeledah sampah sarap dan timbunan serpihan lain bagi mencari sesuatu untuk dimakan, sebilangan lagi berkumpul di sekitar beberapa bangunan yang masih mempunyai bekalan elektrik, manakala sejumlah yang lain beratur untuk mengambil air, wang tunai atau petrol yang dibawa masuk oleh konvoi polis.
“Presiden Joko Widodo telah datang ke sini tetapi apa yang kami benar-benar perlukan ialah makanan dan air,” kata seorang warga kota Palu, Burhanuddin Aid Masse, 48, kepada agensi berita AFP.
Tentera Indonesia kini mengetuai usaha menyelamat, namun, susulan kebenaran yang diberikan oleh Joko, agensi-agensi bantuan antarabangsa mula tiba di Palu. Bandar tepi laut itu merupakan antara kawasan paling teruk terjejas dalam bencana berkembar tersebut.
Mereka bergabung tenaga untuk membantu hampir 200,000 mangsa gempa bumi dan tsunami Indonesia yang semakin terdesak. Jumlah tersebut, termasuk kira-kira 46,000 kanak-kanak dan 14,000 warga tua, kebanyakannya berada di kawasan luar bandar yang bukan menjadi tumpuan usaha menyelamat pemerintah.
Sementara itu, sebuah gereja di wilayah terjejas gempa bumi dan tsunami itu musnah akibat tanah runtuh.
“Sejumlah 34 mayat ditemui oleh pasukan kami,” kata jurucakap Palang Merah Indonesia, Aulia Arriani kepada AFP sambil menambah, pada mulanya, seramai 86 pelajar di Pusat Latihan Gereja Jonooge itu dilaporkan hilang.
Menurutnya, pasukan penyelamat berdepan tugas sukar untuk sampai ke lokasi tanah runtuh itu dan mengeluarkan mangsa.
“Halangan paling mencabar adalah berjalan kaki mengharungi lumpur sedalam 1.5 meter sambil membawa mayat mangsa untuk dihantar ke sebuah ambulans,” katanya. – AFP











