MELANGKAH masuk ke Studio Utusan sambil menjeling ke arah sekumpulan individu yang sedang dirakam gayanya oleh jurukamera bertugas, seloroh Ario: “Saya kenal lelaki itu.”
Sambil jari telunjuknya menuding ke arah si pelakon Amerul Affendi, antara regu lakonnya dalam naskhah One Two Jaga.
Persinggahan pemain layar Java Heat itu juga atas komitmen sama, turun padang demi promosi filem pertama paduannya bersama produksi Malaysia, One Two Jaga.
Membawa watak Sugiman, iaitu bapa kepada Joko serta mempunyai adik perempuan berusia 20-an bernama Sumiati, Sugiman atau Iman mudah membuatkan sesiapa pun yang menyaksikan filem arahan Nam Ron itu ditoreh simpati, seterusnya berkali-kali jatuh cinta dengan penghayatan kelas antarabangsa yang begitu hidup pada wajah dan bahasa tubuhnya.
Mula diperhatikan sejak memainkan watak polis dalam filem Joko Anwar berjudul Kala (2007) sehingga diberi kepercayaan menghidupkan roh bekas pemimpin nombor satu Indonesia dalam Soekarno: Indonesia Merdeka! (2013), Ario tidak pernah mengecewakan karyanya.
Dalam One Two Jaga, pergelutan kesukaran hidup Sugiman sebagai buruh kasar tidak banyak divisualkan tetapi dengan sedikit penceritaan tentang Joko dan Sumiati, perwatakan dan karakternya terangkat secara organik. Secara tidak langsung juga ia sejenis ‘pembelaan kecil’ daripada Nam Ron terhadap sisi murni dan kesukaran hidup kuli tapak pembinaan yang selama ini menjadi kelompok terendah dan sasaran masyarakat untuk sebarang kes jenayah seharian.
Aspirasi
Ditebak tentang citra bangsa dan kenegaraan yang mendorong penglibatannya dalam naskhah terbitan Bront Palarae tersebut, begini jawab Ario:
“Sebetulnya saya sangat bertuah kerana dapat berpadu dalam projek-projek kolaborasi negara serantau. Saya mengenali Bront juga menerusi projek HBO Asia iaitu Halfwolfs. Saat ditanya Bront tentang kesudian menerima One Two Jaga, saya fikir itu bagus.
“Kami berkongsi aspirasi dan kecintaan yang sama tentang dunia sinema. Semuanya juga berbalik terhadap penceritaan. Itu faktor nombor satu. Korupsi tidak hanya berlaku di Malaysia, malah di Indonesia dan seluruh dunia, ia juga simpton daripada sistem ekonomi
“Bagi saya, Nam Ron juga memiliki visi jauh dan horizon yang begitu luas. Sebagai imigran yang bekerja di Malaysia, mereka tetap membawa harapan untuk mencari masa depan yang lebih baik. Itukan sangat berkait dengan kehidupan seharian semua orang di serata dunia. Pada akhirnya, mimpi-mimpi Sugiman untuk mendapatkan kehidupan lebih baik di Malaysia tidak mudah.”
Panjang lebar menterjemah permainan karakternya, aktor berusia 33 tahun itu sempat meluahkan kebanggaan jiwanya terlibat dalam pengkisahan sebuah karya dengan isu yang cukup sinonim dengan situasi semasa. Menurutnya, tidak semua orang dilahirkan sebagai bertuah. Ada yang terpaksa berhijrah ke negara tetangga tidak kira dari Indonesia, Nepal atau Myanmar. Bahkan orang Malaysia sendiri ada memilih menjadi pengutip buah di luar negara, demi menambah baik kehidupan.
“Keluarga saya sendiri pernah menetap di New Zealand, beza status sosial tetap wujud walau apapun pekerjaan yang dilakukan. Sama juga dengan isu rasuah, ia berlaku di mana-mana. Ada imigran yang baik dan tidak baik, polis baik dan tidak baik,” ujarnya yang akan menyambut lagi jika masih dihulurkan tawaran bekerjasama dari Malaysia selepas ini.
Bosan
Pernah menjadi seorang yang begitu selektif, mahu terlibat dalam karya yang benar-benar bagus menurutnya dari segala segi gandingan produksi dan penceritaan, Ario mengaku sudah menemui keseimbangan. Dia bahkan pernah menarik diri daripada industri seni selama dua tahun atas alasan buntu dan tiada ruang peningkatan dalam kerja lakonnya.
“Dahulu saya hanya pilih karya yang memberi ruang untuk berkembang, belajar sebanyak perkara untuk memperbaiki kerja. Siapa gandingan, pengarah dan berapa besar impak saya boleh pergi dengan filem berkenaan. Namun selepas Soekarno: Indonesia Merdeka! saya mulai kebosanan, berasa mendatar dan tidak tahu apa lagi yang harus dicari dalam lakonan. Lalu saya keluar dan mencuba bidang perniagaan.
“Rupa-rupanya perniagaan juga jauh lebih sukar dan saya tidak cukup mahir dengan bisnes. Bagaimanapun, ia sebuah pelajaran dan pengalaman yang berharga,” jelas Ario tentang pilihan-pilihan yang pernah dilakukan.
Selepas kembali berlakon, pendirian lulusan sekolah teater Globe Theatre, London itu sedikit berubah. Jika dahulu, dia rela menjadi ‘miskin’ dan pernah hanya menerima sebuah filem dalam setahun, kini filosofinya lebih terbuka. Dia mencuba tawaran beberapa judul filem termasuk komedi, seram dan filem aksi.
“Saya tidak meletakkan diskriminasi genre. Saya senang dengan semua genre tetapi dalam masa sama, cuba bermanifestasi dan memahat karakter dengan sebaik-baiknya,” jelas Ario.
Melihat portfolio yang diwarnai dengan judul-judul besar bersama sutradara handalan dan pelakon tersohor, ia secara tidak langsung memberi gambaran tentang kredibiliti dan haluan seni pacuan Ario. Ironi, lelaki berkulit sawo matang itu hanya mahu terus menikmati keseronokan di padang permainannya kini.
“Kalau soal jadi perhatian atau populariti, semuanya atas dasar kerja. Lakonan itu merupakan kecintaan saya. Bunyi seperti klise tetapi situasi itu bukan satu akses saya berasa terkenal sebaliknya pekerjaan ini mahu diteruskan untuk selama-lamanya.
“Lakonan adalah medium ekspresi yang menyenangkan. Biarpun di lokasi, rasanya setiap hari adalah hujung minggu, hari liburan,” ujarnya.
Ruang hiburan
Sempat memuji Bront yang berani mempertaruhkan karya dengan isu besar dalam nada realisme, begitu juga kerja Nam Ron yang memberi makna pada setiap dimensi baik dari segi pelakon dan penceritaan, Ario bagaimanapun percaya, hujung penghasilan sesebuah karya filem adalah menempatkan ia dalam ruang hiburan.
“Sebuah filem tidak akan menghentikan korupsi dalam mana-mana negara. Sebagai pelakon, saya hanya bisa berkarya, jaga soal kerja dan pada hujungnya saya juga manusia yang tidak jauh daripada yang lain. Saya cuma mahu hidup gembira.
“Tetapi, setiap orang ada visi tersendiri, justifikasi setiap individu berbeza. Saya pula hanya mahu berlakon. Namun, kalau diberi peluang untuk melakukan perubahan saya berbesar hati, saya gembira. saya pernah terbaca tentang Victoria Beckham yang cita-citanya mahu jadi seperti Persill (jenama pencuci terkenal). Bermakna, ukuran populariti dan karier yang dimahukannya seperti menjadi sebuah jenama cucian yang dikenali semua orang,” Ario membuat perumpamaan.
Diajak bercakap soal penerimaan naskhah bentuk komersial dan skeptikal terhadap karya yang dilihat sebagai art house seperti One Two Jaga. Nasib filem berkenaan juga tidak jauh beza dengan pembabitannya dalam filem biopik berbajet besar berjudul Sultan Agong yang mengalami kerugian kerana gagal meraih kutipan pecah panggung pada Ogos lalu.
Untuk One Two Jaga yang sempat diberi hayat penayangan selama empat hari sejak ditayangkan pada 6 September, sebagai pelaku seni Ario sangat faham kuasa penonton.
“Secara jujurnya, One Two Jaga masih sebuah filem hiburan, menontonnya tidak memerlukan audiens berkira-kira soal statistik atau hipotesis yang rumit. Isunya mungkin berat tetapi penceritaannya santai,” jelas aktor yang baru selesai penggambaran filem berjudul Darah Daging di Jakarta itu.
Menurutnya, pengkarya tidak mampu menentukan pasaran. Namun untuk One Two Jaga, respons yang disaksikan ketika menyertai tayangan dan sesi apresiasi pada New York Asian Film Festival pada Julai lalu membuktikan ia sebuah karya yang mudah diterima umum.
“Kebetulan saya juga mewakili delegasi Buffalo Boy yang ditayangkan pada festival sama. Ketika itu, saya dan Nam Ron cukup senang dengan respons penonton. Saya tumpang bangga dapat terlibat dalam karya sebegitu,” tutup Ario Bayu.











