Kredibiliti 18 tahun Habsah Hassan - Utusan Malaysia

Kredibiliti 18 tahun Habsah Hassan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Polemik yang melanda dalam sesebuah organisasi bukan satu hal tabu. Bagaimanapun ia mampu menjadi barah sekiranya tidak dirawat. Ada orang mengambil pendekatan terima dan hadam, bagaimanapun segelintir memilih berundur namun dalam balutan semangat besar dan penuh integriti.

Itulah yang dilakukan oleh Pengerusi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad atau MACP, Habsah Hassan apabila beliau mengumumkan peletakan jawatannya selepas 18 tahun menerajui badan pelesenan tersebut berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Akuinya, ia bukan satu keputusan yang mudah dilakukan, namun demi melihat keharmonian, kelangsungan serta bagaimana kelak kebanyakan ahli lembaga pengarah MACP mampu mencorakkan gerakan organisasi berkenaan dalam persembahan yang lebih segar atau tersusun, beliau mengalah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sementelah, kata tokoh yang cukup istimewa dalam kalangan pelaku seni tempatan itu mendedahkan, sejak setahun kebelakangan ini, sudah banyak ahli lembaga pengarah yang mendesak beliau meletakkan jawatan.

Hal tersebut terjadi selepas sejak 1 Januari 2017 apabila kerajaan mengarahkan sebuah badan baharu iaitu Music Rights Malaysia (MRM) mengambil alih pungutan royalti bagi pihak badan-badan pelesenan seperti MACP, Pengutip Royalti Persembahan dan Hak Artis (Prism) dan Recording Performance Malaysia Berhad (RPM) serta Public Performance Malaysia (PPM).

Justeru itu, kutipan royalti yang sememangnya tidak lumayan seperti beberapa tahun dahulu jatuh merudum. Malah, berikutan penstrukturan semula pengagihan sistem kutipan royalti oleh kerajaan, pendapatan royalti MACP berkurang sebanyak 53 peratus.

Penulis lirik tersohor yang kini berusia 69 tahun itu berkongsi rasa bersama Kosmo!, mengenai peletakan jawatan dan harapannya terhadap tampuk pimpinan baharu yang akan menggerakkan MACP kelak.

KOSMO!: Mengapakah selepas 18 tahun akhirnya Habsah melepaskan jawatan Pengerusi MACP?

HABSAH: Secara terus terang, saya meletak jawatan sebagai Pengerusi MACP kerana tidak lagi mendapat sokongan dan kepercayaan penuh daripada kebanyakan lembaga pengarah MACP.

Sebenarnya sejak tahun lalu saya sudah didesak untuk melepaskan jawatan ini kerana kegagalan MACP mengutip royalti yang lumayan seperti tahun-tahun sebelumnya.

Jika saya seorang yang berjuang tetapi tetap ditentang oleh kebanyakan ahli lembaga pengarah yang lain dan menutup ruang untuk bersuara malah dihamun oleh segelintir pihak, saya kira sudah tiba masanya melepaskan jawatan ini.

Kepada semua ahli MACP, saya mengambil tanggungjawab untuk berundur. Saya memohon maaf atas kegagalan mengagihkan royalti yang lumayan seperti tahun-tahun sebelum ini.

Apa sebenarnya yang menyebabkan pelaku seni gagal memperoleh pulangan royalti yang lumayan seperti tahun-tahun sebelum ini?

Sejak 1 Januari 2017, kerajaan telah mengarahkan sebuah badan baharu iaitu Music Rights Malaysia (MRM) mengambil alih pungutan royalti bagi pihak badan-badan perlesenan seperti MACP, Pengutip Royalti Persembahan Dan Hak Artis (Prism) dan Recording Performance Malaysia Berhad (RPM) serta Public Performance Malaysia (PPM).

Sejak tarikh itu, semua badan pelesenan tidak lagi diberikan lesen mengutip royalti seperti sebelumnya. Itu sekali gus telah merubah senario industri muzik tanah air. Biarpun matlamat penubuhan syarikat ini sangat praktikal dan baik untuk jangka masa panjang, sayangnya ia telah disambut dengan sinis, kritikan dan polemik yang umumnya bersifat negatif.

Adakah MACP pernah gagal mengagihkan kutipan royalti kepada lebih 4,000 ahlinya?

Tidak pernah. Malah hasil kutipan royalti MACP pernah mencecah sehingga RM50 juta setahun. Cuma baru sekali iaitu pada tahun ini, kutipan yang diperoleh tidak begitu lumayan.

Hal ini kerana selepas MRM ditubuhkan dan mengalami beberapa gelombang, termasuk pelantikan Tun Zaki Azmi sebagai pengerusi baharu, akhirnya MRM diberikan lesen pada 1 Ogos 2017 dan memulakan operasinya pada bulan Oktober 2017.

Dalam tempoh 10 bulan tanpa sebarang kutipan, ada pihak yang enggan menjelaskan bayaran tertunggak serta ekonomi yang tidak stabil mengakibatkan pungutan royalti jatuh merudum sebanyak 53 peratus atau RM45 juta.

Badan MRM pula hanya mula mengutip royalti untuk tempoh 10 bulan terakhir ini yang akhirnya telah dapat diberikan kepada ahli pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, oleh kerana hasil kutipannya tidak lumayan, saya telah difitnah, dihamun, dicaci dan dibenci dengan pertuduhan yang mengatakan saya menyebelahi pihak MRM hanya kerana saya juga merupakan pengerusi protem mereka.

Sebenarnya, tahun-tahun terakhir ini adalah masa yang sangat mencabar bukan sahaja terhadap MACP, tetapi semua badan pelesenan yang lain. Jadi saya harap semua ahli boleh bersabar dengan situasi sekarang.

Dengan peletakan jawatan tersebut, jadi siapa yang akan menggantikan posisi anda?

Saya percaya ahli lembaga sedia ada akan memilih yang terbaik untuk menggantikan tempat saya. Kalau tikus yang dipilih ahli-ahlinya, rosaklah labu yang dikerjakan nanti.

Namun saya percaya kebanyakan ahli tidak bersifat retorik dan emosi, jadi gunakan kebijaksanaan serta kewarasan dalam pemilihan kelak.

Sebagai individu yang menggerakkan MACP selama 18 tahun, apakah harapan anda terhadap organisasi tersebut?

Bagaimana corak gerak MACP pada masa hadapan bergantung kepada ahli-ahlinya. Oleh kerana Mesyuarat Agung Tahunan MACP belum diadakan, maka saya tidak boleh meramal apa akan berlaku terhadap badan itu pada masa depan.

Cuma saya yakin, bukan hanya saya, malah ahli lain juga pasti berharap ahli lembaga pengarah yang ada serta pihak pengurusan akan membawa kejayaan yang lebih cemerlang terhadap MACP pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini