MERSING 2 Okt. – Masih ramai individu memandang remeh aspek pelupusan sisa elektronik (E-Waste) sehinggakan ada mengambil jalan mudah dengan membuangnya ke dasar laut.
Namun, tindakan itu memberi ancaman terutamanya terhadap hidupan marin kerana sisa berkenaan mempunyai toksik.
Bagi memastikan hidupan marin terus hidup dengan ‘aman’, Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri ini menganjurkan Program Pengumpulan E-Waste Dari Dasar Laut di Pulau Tinggi, dekat sini baru-baru ini.
Program yang memasuki tahun kedua itu berjaya menarik penyertaan 20 penyelam daripada Koperasi Penyelam Skuba Johor Berhad (Co-op Diver), pegawai JAS serta mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Dalam program berkenaan, kira-kira 10 kilogram sisa elektronik berjaya dikumpulkan termasuk skrin televisyen, pelbagai jenis bateri dan mentol.
Pengarah JAS negeri, Datuk Dr. Mohammad Ezzani Mat Salleh berkata, program terbut bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahaya sisa elektronik terhadap biodiversiti marin.
“Kita adakan aktiviti sebegini untuk sedarkan masyarakat supaya jangan mudah membuang sisa elektronik ke dalam laut. Jangan pandang ringan perkara ini.
“Kesannya nanti akan mencemarkan ekosistem marin sebab bahan elektronik dan elektrik yang terpakai ini mengeluarkan toksik,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam program itu di sini.
Menurutnya, ekosistem di daratan mahupun laut perlu dipelihara sepanjang masa untuk generasi akan datang.
Mohammad Ezzani berkata, semua pihak harus diberikan kesedaran bahawa E-waste mempunyai toksik dan tidak menjadikannya sebagai tukun atau tarikan pelancong.
“Penduduk di kawasan pulau juga disarankan mengumpul sisa ini dan dilupus di tempat yang selamat,” katanya.
Beliau turut memuji komitmen 20 penyelam yang sudi bersama-sama pihaknya dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar terutama di negeri ini.
“Saya harap akan lebih ramai sukarelawan penyelam tampil supaya bersama-sama menjayakan aktiviti seperti ini pada masa akan datang.
Sementara itu, Pengerusi Co-op Diver, Mohd. Fairuz Othman menggesa penyelam supaya bersama-sama membantu menyelamatkan ekosistem marin dengan menyertai program seperti itu.
“Sama-samalah kita menyemai kesedaran tentang perkara ini kerana bukan semua barang boleh dijadikan tukun,” katanya.











