'Isu ini adalah gesaan media, bukan saya' - Utusan Malaysia

‘Isu ini adalah gesaan media, bukan saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Okt. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau tidak pernah mengharapkan sebarang permohonan maaf daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad selama ini.

Sebaliknya Anwar mendedahkan beliau sudah lama memaafkan tindakan Perdana Menteri itu pada masa lalu.

“Saya tidak pernah meminta Dr. Mahathir memohon maaf malah saya sentiasa menegaskan bahawa saya berpuas hati dengan sikap dan kesediaan beliau untuk bekerjasama dengan kami. Lupakan kisah silam dan maju ke hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebenarnya, isu permohonan maaf ini adalah gesaan anda (media) dan bukannya saya,” katanya dalam majlis Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Ikon Kemerdekaan India, Mahatma Gandhi anjuran Pusat Kebudayaan India, Netaji Su­bash Chandra Bose, di sini, hari ini.

Dr. Mahathir menerusi satu wawancara khas bersama BBC di London, hari ini mendakwa tidak pernah memohon maaf secara rasmi kepada Anwar.

Mengulas lanjut, Anwar turut memberitahu, beliau juga telah memaafkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas kapasiti peribadinya.

“Saya sudah memaafkan Najib tetapi beliau tetap perlu berdepan dengan hukuman dan dakwaan terpalit terhadapnya terutamanya membabitkan isu dana rakyat. 

“Berhubung Dr. Mahathir pu­la, saya rasa tidak perlu ulas kerana beliau berjaya melakukan agenda reformasi, malah beliau me­nerima saya sebagai rakan dan dalam proses ini rasanya sudah mencukupi,” katanya.

Terdahulu, Anwar dalam ucapannya turut menyentuh mengenai prinsip Ahimsa (perjuangan bersifat tanpa keganasan) yang dipelopori oleh Gandhi ketika mengetuai kempen kemerdekaan menentang Bri­tish yang akhirnya membebaskan India daripada pemerintahan penjajah pada 1947.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini