KOTA BHARU 2 Okt. – Pembinaan lebuh raya Kota Bharu–Kuala Krai sepanjang 73 kilometer membabitkan peruntukan sebanyak RM400 juta oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu akan diteruskan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, projek tersebut amat penting untuk rakyat negeri ini dan tidak ada sebab untuk dihentikan walaupun kerajaan pada masa kini sedang menghadapi masalah kewangan.
“Lebuh raya Kota Bharu akan diteruskan dan tidak dibatalkan. Semua projek-projek atas kepentingan rakyat kita akan teruskan tidak ada sebab untuk kita hentikan.
“Cuma masalah tempoh masa. Kita ambil alih kerajaan, kita mempunyai masalah kewangan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cawangan Bina Paint Kelantan, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Anuar berkata, semua projek pembangunan untuk rakyat yang belum atau sedang berjalan di bawah 15 peratus pembinaannya akan dihentikan.
Katanya, pemberhentian itu bukan secara sepenuhnya tetapi kerajaan akan mengkaji terlebih dahulu sama ada layak untuk diteruskan atau tangguhkan.
“Ada projek yang dibuat separuh jalan, tidak buat langsung, sudah dapat bayaran pendahuluan tapi belum dimulakan lagi, itu semua kita kena kaji semula.
“Semua pihak harus bersabar dan tunggu bajet pertama Pakatan Harapan yang akan dibentangkan pada November ini yang akan membuka laluan kepada lebih banyak projek untuk diteruskan,” katanya.











