KUALA LUMPUR 2 Okt. – Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang baharu dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ternyata tidak dapat menyembunyikan emosi pada majlis serah tugas jawatan itu hari ini.
Walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu, pengalaman menerima ‘hadiah penyapu’ daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo) yang disifatkan sebagai kenangan pahit itu tidak pernah luput dalam ingatannya.
Nor Hisham berkata, hadiah itu diterima ketika berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di atas ‘pencapaian’ kutipan cukai pihak berkuasa tempatan itu di bawah 40 peratus.
Hadiah sindiran yang menjadi topik hangat pada 2007 itu bagaimanapun tidak menjadi penghalang kepada beliau sebaliknya dijadikan motivasi untuk berkhidmat dengan lebih cemerlang.
“Ia (anugerah) diambil pada Disember 2007, bermakna bukan zaman saya. Walaupun saya duduk di jawatan itu hanya baru satu hari, saya mempunyai integriti dan tidak akan minta anak buah untuk mengambilnya bagi pihak saya.
“Dengan penuh tangungjawab saya terima. Tapi ia menjadi sejarah buat Kerajaan Negeri Selangor yang memberikan penyapu kepada penjawat awam atas prestasi buruk,” katanya.
Nor Hisham berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Terima Tugas Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-12 di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di sini, hari ini.
Nor Hisham dalam ucapan terdahulunya berkata, meskipun sudah setahun bersara, beliau menerima tawaran untuk berkhidmat semula dalam badan kerajaan yang disifatkannya sebagai panggilan untuk kembali dan berkhidmat kepada negara.
“Kuala Lumpur mempunyai tempat yang istimewa di hati saya kerana saya membesar dan dilahirkan di sini. Kota ini ibarat jantung dan nadi saya,” katanya.
Majlis penyerahan tugas daripada Mhd. Amin Nordin itu disaksikan oleh Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad dan Timbalan Menteri Wilayah, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.
Mengulas mengenai komitmen beliau sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur itu, Nor Hisham mahu menumpukan soal keberkesanan kerja dengan kerap melakukan lawatan dan turun padang ke lokasi dalam menyelesaikan permasalahan warga kota.
“Strategi saya untuk Kuala Lumpur adalah mudah. Saya bercadang memperkenalkan strategi Smart-Precise-Impact-Cost-Effective (SPICE) yang saya perkenalkan di Subang Jaya.
“Pada dasarnya, kita perlu bijak membuat keputusan yang membawa kepada kesan yang efektif selain terdapat banyak cara untuk mengurangkan kos dan menjimatkan wang,” katanya.











