KUALA LUMPUR 2 Okt. – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mendedahkan kira-kira 13.7 juta pekerja di negara ini tidak dilindungi oleh sebarang bentuk polisi perlindungan keselamatan sosial.
Beliau berkata, angka itu membimbangkan dan keadaan itu perlu ditangani kerana data Januari 2018 Jabatan Statistik menunjukkan negara mempunyai 15.19 juta pekerja.
“Kerajaan komited memperluaskan perlindungan keselamatan sosial di negara ini untuk memastikan rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat dilindungi oleh sistem keselamatan sosial yang mampan dan mampu,” katanya semasa melancarkan Forum Keselamatan Sosial Serantau bagi Asia dan Pasifik 2018, Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA), di sini, hari ini.
Mengakui kewujudan jenis kerja baharu yang dijana daripada Revolusi Industri 4.0, beliau menggesa Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperluaskan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 kepada pekerja dalam semua platform ekonomi baharu.
Beliau berkata, jenis kerja baharu itu yang jauh berbeza daripada model kerja tradisional telah menyebabkan pekerja baharu berkenaan tidak dilindungi oleh sebarang bentuk program keselamatan sosial.
Dr. Wan Azizah berkata, pekerja dalam sektor tidak formal tidak seharusnya dilupakan, serta kumpulan lain yang mudah terdedah kepada bahaya seperti orang kurang upaya, orang berusia, suri rumah, kanak-kanak dan lapisan masyarakat yang lain.
“Untuk menangani ini, kita perlu mewujudkan sistem keselamatan sosial bersepadu di mana semua rakan kongsi sosial dapat berkongsi data mereka bagi memastikan faedah-faedah yang betul sampai kepada orang yang betul,” katanya.
Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menggesa pentadbiran keselamatan sosial menggunakan pendekatan inovatif untuk mengekalkan faedah-faedah dan memperluaskan lagi perlindungan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan keselamatan sosial.
Beliau juga berkata, pengamal keselamatan sosial perlu mula beralih daripada ‘pembayar’ kepada ‘pemain’ untuk memastikan faedah-faedah keselamatan sosial direka bagi memasukkan ‘memberi semula’ kepada masyarakat.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran dan Presiden ISSA, Dr. Joachim Breuer. – BERNAMA











