PETALING JAYA 1 Okt. – TUJUH lokasi pasar awam dan satu lokasi medan selera menjadi tumpuan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam Kempen Hapuskan Tikus 2018 baru-baru ini.
Lokasi-lokasi tersebut adalah Pasar Awam Seksyen 17/1A, Pasar Seri Setia SS9, Pasar Kampung Cempaka, Pasar Taman Megah dan Kompleks Pasar Taman Dato’ Harun.
Turut terlibat Pasar Besar Jalan Othman, Pasar Awam Seksyen 14, dan Taman Selera, Jalan Othman.
Pegawai Komunikasi Korporat MBPJ, Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar berkata, pemilihan lokasi tersebut adalah berdasarkan potensi untuk haiwan perosak berkenaan membiak kerana persekitarannya yang mudah untuk mendapat bekalan makanan dan sesuai untuk dijadikan tempat bersarang.
Menurutnya, sepanjang tempoh dua minggu kempen berlangsung bermula 6 hingga 19 September lalu sebanyak 851 ekor tikus berjaya ditangkap.
“Jumlah ini menunjukkan kesedaran peniaga dan penjaja semakin meningkat untuk sama-sama menjadikan pasar awam dan medan selera sentiasa bersih dan bebas daripada haiwan perosak itu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau berkata, sambutan diterima daripada peniaga dan orang ramai sangat menggalakkan sepanjang tempoh kempen yang turut menjanjikan ganjaran setiap ekor tikus yang berjaya ditangkap dibayar RM3.
Ujarnya, walaupun kempen itu dianggap berjaya kerja-kerja memasang perangkap tikus tetap diteruskan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran MBPJ di kawasan berisiko sekitar Petaling Jaya, Puchong dan Damansara.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Jalan Othman dan Kompleks Pasar Taman Dato’ Harun mendapati keadaan persekitaran semakin bersih dan terurus.
Rata-rata peniaga dan penjaja yang ditemui berpuas hati dengan langkah proaktif pihak berkuasa tempatan itu mengurangkan populasi haiwan perosak itu.











