PORT DICKSON 1 Okt. – Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji tidak akan melupakan para penyokongnya di kawasan Parlimen Permatang Pauh sekiranya menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober ini.
Bakal Presiden PKR itu berkata, ada antara penyokongnya di Permatang Pauh yang menangis selepas mengetahui beliau memilih Parlimen Port Dickson sebagai kerusi laluannya kembali ke Parlimen.
“Kenapa buat macam itu (memilih Port Dickson). Kami telah bekerja susah dan senang bersama kamu sejak 1982 tetapi apabila kamu hendak menjadi Perdana Menteri bertanding di Port Dickson,” katanya dalam program Forum Muhibbah anjuran pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili kaum, agama dan masyarakat di Thistle Resort Port Dickson, dekat sini hari ini.
Untuk rekod, Anwar adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh selama empat penggal bermula pada 1982 hingga 1995 dan dua penggal mewakili PKR mulai 2008 hingga 2015.
Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau telah memberi jaminan tidak akan meninggalkan para penyokongnya di Permatang Pauh selepas menjadi Perdana Menteri.
“Semasa jadi Perdana Menteri kelak, saya bukan saja jaga Port Dickson dan Permatang Pauh, malah seluruh negara ini,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









