PORT DICKSON 1 Okt. – Calon Bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad tidak terkilan atau kecewa jika anaknya, Mohd. Najib dikenakan tindakan oleh UMNO kerana membantunya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
Malah beliau berpendapat, parti mempunyai hak untuk mengenakan sebarang tindakan terhadap ahlinya jika mereka melanggar prinsip parti.
“Terserah pada parti untuk buat (ambil tindakan) dan kita hanya boleh mentafsir. Macam saya cakap sebelum ini, saya menentang musuh Barisan Nasional (BN) dan dari segi logiknya, (perlu) sokonglah. Bukan sahaja di Port Dickson, sepatutnya dari seluruh negara kerana saya bukan melawan UMNO.
“Tetapi kalau peraturan kata kena ambil tindakan, ambillah tindakan. Kalau dia berani buat, dia kena berani tanggung dan saya tidak kecewa, malah saya sendiri telah digantung tiga tahun, tiada masalah,” katanya ketika ditemui selepas melawat rumah seorang penduduk, di sini hari ini.
Semalam, anak Mohd. Isa yang juga Ketua Pemuda UMNO bahagian Port Dickson, Mohd. Najib sedia berdepan tindakan parti itu kerana berkempen bagi bapanya dalam PRK.
Mohd. Najib menegaskan, adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang anak untuk menyokong keputusan bapanya yang mahu bertanding sebagai calon Bebas.
Dalam pada itu Mohd. Isa menegaskan, beliau tidak pernah menyarankan anaknya untuk meninggalkan UMNO malah menasihatkan Mohd. Najib untuk bertanggungjawab atas segala tindakan yang diambil.
“Dia pun dah besar dan lama dalam politik, pernah jadi Exco dan pada saya, UMNO yang patut kecewa jika tokoh muda seperti Najib tiada.
“Saya tidak pernah menasihati dia untuk tinggalkan UMNO dan terserahlah pada dia untuk buat keputusan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











