PBT diarah periksa ketahanan buaian kayu di semua pantai peranginan - Utusan Malaysia

PBT diarah periksa ketahanan buaian kayu di semua pantai peranginan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 1 Okt. – Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah menjalankan pemeriksaanke atas semua buaian kayu di kawasan pantai peranginan di negeri ini bagi memastikan ia selamat digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, langkah itu dilakukan bagi mengelakkan insiden buaian runtuh di Pantai Teluk Ketapang, di sini kelmarin berulang menimpa orang ramai terutama kanak-kanak.

“Kita akan minta PBT periksa dan pantau supaya aspek keselamatan kesemua kemudahan itu terjamin.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buaian ini ada di semua pantai di negeri ini antaranya di Pantai Batu Burok dan Teluk Ketapang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam seorang pengguna laman sosial Facebook yang dikenali sebagai Dermalina Othman berkongsi video sebelum dan selepas dirinya berdepan detik cemas apabila tiang buaian di Pantai Teluk Ketapang tumbang dan menghempap kepalanya.

Dalam catatannya, wanita itu meminta orang ramai berhati-hati ketika menggunakan atau membawa anak-anak bermain di buaian yang terdapat di pantai.

Sementara itu, Ariffin difahamkan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan akibat insiden tersebut.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri juga akan melihat keperluan untuk meletakkan papan tanda had umur kepada pengguna kemudahan itu yang khusus kepada kanak-kanak sahaja.

Buaian kayu yang diinspirasikan daripada kemudahan sama di pantai peranginan di Lombok, Indonesia itu mencuri tumpuan setiap pengunjung ke negeri ini dengan rata-ratanya tidak melepaskan peluang untuk mengabadikan kenangan.

Struktur binaannya menggunakan batang nibong, kayu cengal dan juga tali.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini