LONDON – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui bahawa kerajaan mengalami masalah kekurangan dana kerana ia dibebani dengan hutang negara melebihi RM1.0 trilion yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu.
Katanya, sebahagian besar daripada wang kerajaan akan digunakan untuk membayar hutang.
“Inilah keutamaan kita kini, iaitu untuk menyelesaikan masalah hutang ini,” katanya dengan menambah kegagalan berbuat demikian boleh membawa kepada risiko negara menjadi bankrap.
Dalam perjumpaan beliau dengan rakyat Malaysia yang bermastautin di United Kingdom pada satu jamuan minum lewat petang semalam, Mahathir mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia dan masyarakat Malaysia di luar negara kerana dengan sukarela telah menyumbang kepada Tabung Harapan untuk membantu mengurangkan beban hutang negara.
“Mereka secara sukarela telah bertindak mengumpul dana untuk membantu kerajaan. Sudah tentulah jumlahnya tidak banyak tetapi sikap yang ditunjukkan mereka itu adalah amat dialu-alukan iaitu semangat kesetiaan rakyat kepada negara,” katanya. – Bernama











