PERHIMPUNAN Agung UMNO 2018 yang berakhir hari ini seharusnya menjadi pemangkin kepada usaha untuk membawa kebangkitan parti setelah berada dalam keadaan gundah-gulana akibat kehilangan kuasa buat kali pertama dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Untuk melihat satu kebangkitan tentunya bukan tugas seorang individu tetapi melibatkan semua daripada Majlis Tertinggi (MT), perwakilan dan juga kepemimpinan serta ahli di peringkat bahagian dan cawangan.
Namun, dalam mengemudi sebuah organisasi terutama yang besar seperti UMNO, cabarannya bukan kepalang bahkan perlu pula berdepan dengan kritikan dari segenap penjuru yang ada kalanya mencalarkan, bukannya membina.
Ini mengingatkan kepada satu rakaman video yang dikongsi rakan di media sosial baru-baru ini berhubung cerita seorang pakar motivasi luar negara mengenai fiil manusia.
Klip itu bermula dengan cerita pengalaman lelaki tersebut minum teh di sebuah warung. Ketika menunggu minumannya dihidangkan, dia bersembang dengan pemilik gerai tersebut.
Berdasarkan ceritanya, pemilik gerai tersebut memulakan perbualan dengan mengkritik keputusan Perdana Menteri yang baginya patut dilakukan begini dan bukan begitu.
Cerita itu kemudian beralih pula kepada kisah ketua kampung tetapi subjek tetap sama. Ketua kampungnya tidak tahu buat kerja yang sepatutnya dia buat C tetapi mengambil keputusan D.
Kemudian beralih pula kepada sistem pendidikan negaranya yang turut menjadi sasaran. Bagi peniaga tersebut patutnya dilakukan secara A dan bukan B.
Tidak lama kemudian, teh yang dipesan pun berada di hadapannya. Peniaga itu juga terus beralih perbualan dengan pelanggan lain.
Namun daripada tegukan pertama, pakar motivasi itu sudah merasai ada kekurangan rasa dalam teh tersebut. Ini membuatkannya tersenyum mengenangkan perangai manusia.
Apa yang manusia bijak, hanyalah dalam perkara membabitkan kerja orang lain tetapi jika membabitkan bidang tugas sendiri, itulah manusia paling lemah. Sendiri bikin teh pun tidak sedap tapi kerja orang lain waima Perdana Menteri pun, dia tahu apa yang patut dibuat.
Jadi untuk berjaya, pertama kena tahu apa yang diri sendiri patut lakukan. Mana kurang, ditambah baik. Barulah boleh membantu organisasi keluar daripada sebarang masalah.
Jika hanya tahu apa orang lain patut lakukan, maka sampai bila-bila pun ‘pi mai pi mai tang tu’ .- UTUSAN ONLINE











