PORT DICKSON 29 Sept. – Bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan menegaskan beliau bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bukan kerana dendam terhadap Ketua Umum PKR itu.
Beliau berkata, kisah lampau membabitkan dirinya dan Anwar telah diputuskan oleh mahkamah dan Anwar telah pun selesai menjalani hukuman yang dikenakan ke atasnya.
“Saya tidak membangkitkan isu peribadi dalam kempen PRK ini dan mengharapkan calon lain turut berbuat demikian. Kita mahu satu pilihan raya yang matang.
“Bagi saya, PRK ini bukan tentang mana-mana individu, tetapi ini adalah kuasa rakyat untuk membuat pilihan,” katanya selepas pengumuman calon PRK Parlimen Port Dickson di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, di sini hari ini.
Anwar pernah disabitkan bersalah oleh mahkamah atas pertuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari pada tahun 2008 dan dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun sebelum Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memperkenankan pengampunan diraja kepada Anwar pada 16 Mei lalu.
Sementara itu, Saiful Bukhari berkata, tindakan penyokong Anwar mengejeknya apabila namanya diumumkan sebagai calon tidak melemahkan semangatnya bertanding dalam pilihan raya berkenaan.











