KUALA LUMPUR 29 Sept. – Seruan kebangkitan bagi memperkasakan kembali UMNO selepas tidak lagi berkuasa menjadi intipati kepada ketiga-tiga sayap pergerakan parti itu dan salah satu kaedah dalam menyuntik semangat itu ialah menyampaikannya dalam bentuk gurindam.
Bagi Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki, kekalahan lalu bukan pengakhiran atau kiamat kepada UMNO dan titipan seruan tersebut disusun dengan penuh tersirat, sesuai dengan wataknya yang juga seorang intelektual.

Berikut adalah seruan beliau:
Ayuh…Bangunlah! Bangkitlah!
Darah kalian…Darah pejuang,
Usah gundah…Usah goyang,
Kerna besok…Belum kiamat.
Biarpun hati dan diri kita sudah dilapah,
Jangan sampai darahnya tumpah melimpah,
Biarpun dinding layarnya sudah dicarik,
Jangan sampai ia rabak dan robek,
Balutilah lukamu…Jahitilah yang robek.
Kita berjanji dan bersumpah setia, sedia mengusir segala durjana,
Sedia menyingkir dosa dan noda.
Ayuh…Kita buka langkah,
Seluruh tenaga kita kerah,
Jangan gelabah usah telagah,
Jangan cepat berasa pasrah,
Semarak semangat menjulang maruah.
Demi agama…Demi negara…Demi ummah,
Ayuh…Kita genggam tangan kanan bersama,
Kita julang ke atas dan sematkan di dada.
Launglah…
Dengan suara yang tegas,
Dengan semangat yang keras,
Pemuda kembali bangkit,
Hidup islam…
Hidup Melayu…
Hidup rakyat…
Hidup UMNO…
Allahuakbar – UTUSAN ONLINE











