KEDUA-DUANYA saling mengenali antara satu sama lain termasuk kerap bertegur sapa dan meluahkan hasrat untuk berkongsi satu lensa kamera yang sama.
Keinginan mereka itu akhirnya terlaksana apabila disatukan dalam satu naskhah seram arahan Timo Tjahjanto bertajuk Sebelum Iblis Menjemput.
Biarpun karakter yang dibawa memperuntukkan mereka menentang antara satu sama lain, namun baik Chelsea Islan mahupun Pevita Pearce, kedua-duanya mengakui penglibatan dalam filem Indonesia itu memberi sudut pandang baharu selain berasa teruja apabila naskhah tersebut turut ditayangkan di Malaysia bermula 20 September lalu.
Malah, mereka juga berkongsi satu persamaan iaitu pertama kali terlibat dalam penghasilan filem seram.
Persekitaran kawasan hutan di Puncak, Jawa Barat Indonesia yang menjadi lokasi penggambaran membuatkan mereka ‘terkurung’ tanpa berpeluang bertemu dengan sesiapa melainkan barisan pelakon dan kru produksi.
Disebabkan lebih banyak masa dihabiskan untuk menghidupkan karakter masing-masing di lokasi, justeru cabaran untuk menyeimbangkan antara personaliti diri sendiri dengan karakter merupakan satu perkara berat. Keberangkatan untuk saling bertukar karakter itu adakalanya berlalu tanpa disedari.
Bercerita tentang naskhah seram, penghasilannya pasti memerlukan barisan pelakon menjayakan adegan teriak dan terbang di udara yang menjadi antara rencah utama agar lebih sofistikasi.
Persediaan
Menyedari akan hal tersebut, Chelsea memberitahu, persediaan awal membantu mereka untuk mengelakkan diri daripada terlibat dalam kejadian tidak diingini yang berkemungkinan mengundang kecelakaan.
Katanya, sesi latihan sepanjang tiga minggu tidak hanya melibatkan penghayatan watak dan jalan cerita, tetapi ia mencakupi pelbagai aspek termasuk teknik lontaran dialog dan pelaksanaan babak aksi.
“Proses latihan banyak membantu agar melontar dialog dengan menggunakan suara dari perut. Namun, berlaku juga insiden saya menggunakan suara dari tekak sehingga menyebabkan kesakitan. Ia berlaku disebabkan saya terlalu fokus untuk menjayakan babak sehingga berasakan seperti berada dalam situasi nyata,” terang Chelsea atau nama lengkapnya, Chelsea Elizabeth Islan.
Dalam pada itu, dia juga diberi peluang untuk menghidupkan sendiri watak lakonannya sebagai Alfie. Watak itu digambarkan dengan personaliti yang dingin dan gemar memberontak disebabkan menjalani kehidupan sendirian selepas kematian ibunya.
Sifat dan personaliti Alfie yang berbeza daripada sikap sebenar Chelsea membuatkan ia sukar untuk dilakonkan. Namun, sudah menjadi tugasnya untuk menterjemahkan karakter sementelah dia sendiri merupakan seorang aktres.
“Saya diberi kelonggaran untuk mencipta identiti Alfie mengikutkan tuntutan skrip. Disebabkan itu, tiada sebarang rujukan yang dilakukan. Meskipun ia agak sukar kerana berbeza dengan personaliti sendiri tetapi saya berasa puas membawakan watak tersebut. Tambahan, ia juga merupakan peluang untuk melakukan eksperimentasi serta keluar dari zon selesa,” terangnya optimis.
Pelakon yang pernah membintangi filem Rudy Habibie dan Ayat-ayat Cinta 2 itu turut berkongsikan pengalaman menjayakan babak tertimbus di dalam ‘liang lahad’ bersama kerangka manusia. Tidak menafikan, babak yang memakan masa sekitar 12 jam untuk dihasilkan itu memberi tekanan kepada dirinya.
Berada dalam lingkungan persekitaran asli termasuk sebuah lubang tanah yang digali sedalam tujuh meter bersama limpahan air lumpur, ternyata bukan satu situasi menyenangkan.
Kekuatan mental dan fizikal amat diperlukan bagi menjayakan babak berkenaan yang memakan masa sekitar pukul 9 malam hingga 9 pagi. Dalam tempoh tersebut, kesabaran menjadi kunci utama bagi mendapatkan hasil yang berkualiti.
“Apabila menonton semula babak itu, saya bertanya kepada diri sendiri mengapa sanggup melakukan perkara tersebut. Sekiranya diminta untuk melakukannya sekali lagi secara nyata pasti ia tidak akan berlaku.
“Berada dalam keadaan tertekan di tambah pula dengan persekitaran yang dingin, saya akui agak tertekan dan timbul rasa marah dalam diri. Namun, segalanya dapat ditangani bersama kru produksi, pengarah dan pelakon lain yang turut berada di lokasi,” ujar wanita berusia 23 tahun itu.
Kerasukan
Beralih kepada pelakon jelita bermata bundar, Pevita yang membawakan watak sebagai Maya telah membuka dimensi perspektif baharu dalam kerjaya lakonannya yang berusia lebih 12 tahun.
Pertama kali terlibat dalam filem seram, Pevita atau nama lengkapnya, Pevita Cleo Eileen Pearce berkongsi tentang fahamannya tentang dunia mistik yang diselubungi misteri.
Katanya, setiap agama mempunyai penjelasan dan fahaman tentang kehidupan ghaib dan percaya bahawa manusia tidak perlu melampaui batas sehingga menjangkau dunia misteri itu.
“Saya percaya bahawa adanya dunia misteri yang kita sendiri tidak perlu sentuh. Sekiranya ingin berkongsikan tentang pengalaman seram, sejujurnya saya tidak pernah mengalaminya sebelum ini mahupun sepanjang pembikinan filem Sebelum Iblis Menjemput.
“Dalam lingkungan usia 10 tahun, saya memiliki kecenderungan berjalan ketika tidur. Tidak pasti sama ada ia satu kejadian misteri ataupun bukan tetapi saya percaya setiap perkara yang berlaku itu pasti mempunyai penjelasan sains,” kata Pevita seraya tersenyum.
Bintang filem Tenggelamnya Kapal Van der Wijck itu juga bercerita tentang pengalamannya membawak watak Maya yang pada masa sama, dirasuk oleh roh jahat, kemudian sanggup bertindak kejam dengan membunuh ahli keluarganya sendiri.
“Saya melakonkan watak dirasuk roh jahat di samping karakter Maya sendiri yang mempunyai perubahan emosi berbeza. Personaliti Maya yang tampak tegas dan dingin secara lahiriah sebenarnya berbeza berbanding sikap sebenarnya.
“Disebabkan banyak berlaku perubahan emosi, kadangkala saya berasa keliru sama ada keadaan Maya ketika itu dirasuk atau tidak. Selain itu, keadaan persekitaran penggambaran yang banyak dilakukan pada pukul 4 petang hingga 7 pagi secara tidak langsung menjadi penyumbang tekanan.
“Ini kerana kurang mendapatkan cahaya matahari mampu mempengaruhi seseorang itu selain lebih cenderung mengalami depresi. Walaupun ia memberi tekanan tetapi saya gembira terlibat dalam produksi itu. Ia dilihat seperti keseronokan dan keterujaan,” tutur pelakon berusia 25 tahun terbabit.
Filem Sebelum Iblis Menjemput merupakan karya pertama terbitan rumah produksi tempatan, Ideate Media dengan kerjasama dengan pihak Indonesia iaitu Global Sky Media dan Legacy Pictures.











