KUALA LUMPUR 28 Sept. – Polis meminta penulis blog, Raja Petra Kamarudin untuk membuat laporan polis berhubung kehilangan RM43.3 juta daripada jumlah sebenar rampasan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali.
“Serbuan pertama di Pavilion Residence kita merampas barangan dan wang tunai dengan jumlah RM114 juta.
“Kemudian Kita beritahu jumlah rampasan yang dilakukan di enam premis keseluruhan berjumlah RM116.7 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Menara 238, Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Raja Petra dalam blognya mendakwa nilai rampasan dilakukan polis bernilai RM160 juta tetapi cuma mengisytiharkan nilai rampasan berjumlah RM116.7 juta sekali gus melenyapkan lebihan rampasan bernilai RM43.3 juta.
Menurut Amar Singh, tidak logik polis melenyapkan wang tersebut kerana lokasi di Pavillion Residences mempunyai beratus kamera litar tertutup (CCTV) serta mempunyai satu pintu masuk sahaja.
“Tiada tindakan akan diambil terhadap Raja Petra kerana sesiapa sahaja boleh membuat tuduhan dan sebab itu kita minta dia buat laporan polis mengenai dakwaannya itu,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











