KUALA LUMPUR 28 Sept. – Tempoh mengisytihar harta anggota Kabinet dan ahli Parlimen ditangguhkan sehingga 15 Oktober depan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, langkah itu bagi menggenapkan tiga bulan tempoh perkhidmatan mereka selepas mengangkat sumpah.
“Sepatutnya isytihar 1 Oktober ini tapi kita tangguhkan dua minggu sehingga 15 Oktober kepada semua anggota Kabinet dan ahli Parlimen.
“Senarai pemimpin yang sudah isytihar harta ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sebelum disiarkan di Portal SPRM,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Deklarasi dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Ketua Jabatan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.
Tambahnya, setakat ini perisytiharan harta tidak melibatkan anggota dewan undangan negeri (ADUN) dan kepemimpinan di peringkat negeri. – UTUSAN ONLINE











