BENTONG 28 Sept. – Pengenalan teknologi ‘Liquid Biopsy’ dalam dunia perubatan membolehkan
penyakit termasuk kanser dikesan lebih awal sebelum ia berlaku.
Malah, melalui teknologi itu yang dirintis syarikat Alps Holding Berhad (Alps) membolehkan penyakit yang akan menyerang individu dikesan awal sehingga 30 tahun sebelum dijangka berlaku.
Ketua Pegawai Eksekutif Alps, Profesor Datuk Seri Dr. Tham Seng Kong berkata, teknologi yang mula berkembang di seluruh dunia berkenaan dapat mengesan lebih awal 14 jenis penyakit termasuk sembilan jenis kanser.
“Saintis dunia berjaya menemukan 14 jenis penyakit seperti parkinson, alzhemier, kegagalan jantung dan sembilan jenis kanser yang boleh dikesan awal tiga hingga 30 tahun sebelum ia berlaku.
“Kejayaan mengesan awal sebelum tahap satu lagi membolehkan usaha pencegahan dan rawatan awal dilakukan bagi mengelakkan penyakit berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar pada majlis pelancaran cawangan kedua Alps Medical Clinic Genting Highlands di sini malam tadi.
Yang hadir sama Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir. – UTUSAN ONLINE











