SEREMBAN 28 Sept. – Usaha memulihkan semula Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan yang dibubarkan hari ini dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.
Pengerusi Bersatu negeri, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, beliau dan timbalannya, Eddin Syazlee Shith diberi tugas menyusun semula parti tersebut supaya dapat bergerak dengan lebih cekap dan berkesan.
Beliau berkata, antara yang perlu diberi perhatian adalah menghapuskan budaya warlord (ketuanan) dalam kalangan ketua bahagian dan mengurangkan protokol parti.
“Saya fikir beri tempoh dalam dua hingga tiga bulan untuk kita laksanakan ‘kerja rumah’ ini. Mulai bulan depan saya akan turun padang setiap minggu, Insya-Allah akan dapat pertingkatkan semula parti.
“Saya akan cuba membentuk semangat baharu Bersatu di Negeri Sembilan dengan mengamalkan perkara berkaitan dengan kejujuran, adab dan budi.
“Mana-mana ketua bahagian yang pentingkan diri, mengamalkan nepotisme, rasuah dan tak beri sepenuhnya kepada tuntutan parti akan dikenakan tindakan tegas,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Suai Kenal Bersama Ahli Bersatu, di sini hari ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata, parti itu mengambil keputusan membubarkan semua bahagian dan cawangan di negeri ini termasuk sayap Pemuda Armada dan Srikandi ekoran pelbagai masalah.
Katanya, pembubaran itu merupakan salah satu cara yang diputuskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi menangani isu yang melanda parti berkenaan. – UTUSAN ONLINE











