KUALA LUMPUR 27 Sept. – Seorang guru kaunseling hari ini diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daesh, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Munirah Shamsudin @ Baharum berjaya membuktikan prima facie dalam kes terhadap Razis Awang, 32.
Seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 14 Mac lalu.
Mengikut pertuduhan, Razis didakwa telah memberi sokongan kepada pengganas Daesh dengan cara berbaiah kepada kumpulan itu dalam kumpulan aplikasi telegram ‘Gagak Hitam’ di Lorong Senangin 2/3, Taman Senangin, Kulim, Kedah, kira-kira pukul 8.11 pagi, 30 Mac 2016.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan harta yang telah atau akan digunakan boleh dirampas.
Lelaki itu juga didakwa atas pertuduhan memiliki sembilan keping gambar berkaitan kumpulan pengganas itu yang disimpan di dalam telefon bimbit dan komputer ribanya di tempat sama kira-kira pukul 7.20 malam, 28 September 2016.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item terbabit.
Mahkamah kemudian menetapkan 31 Oktober ini untuk sambung bicara peringkat bela diri. Peguam Syahredzan Johan yang mewakili tertuduh memaklumkan akan memanggil empat saksi. – UTUSAN ONLINE











