Bersatu Negeri Sembilan, 2 bahagian di Selangor dibubar - Utusan Malaysia

Bersatu Negeri Sembilan, 2 bahagian di Selangor dibubar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan dan dua bahagian di Selangor dibubarkan serta-merta kerana menimbulkan pelbagai masalah dan konflik dalaman parti.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dicapai hasil daripada mesyuarat kepimpinan tertinggi yang diadakan hari ini yang turut melibatkan pembubaran di semua peringkat di Negeri Sembilan termasuk Pemuda dan Srikandi.

Katanya, dua bahagian di Selangor yang dibubarkan serta-merta adalah Ampang dan Subang yang dikatakan sengaja ‘buat pandai’ dan tidak mengikut arahan parti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keputusan hari ini membubarkan Bersatu Negeri Sembilan kerana ada banyak masalah. Walaupun kita hendak buat banyak pertukaran di peringkat ini tetapi akan melibatkan isu-isu perlembagaan.

“Sebab itu, satu daripada cara yang diputuskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), kita bubarkan badan kepimpinan negeri termasuk Pemuda dan Srikandi. Yang ada sekarang ini akan terbubar dan kita akan lantik yang baharu,” katanya yang dipetik daripada portal Free Malaysia Today di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, susulan pembubaran itu, satu kepimpinan baharu bakal dilantik dan diuruskan oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim.

Dalam pada itu beliau berkata, dua bahagian di Selangor yang dibubarkan turut mempunyai pelbagai masalah dan melanggar perlembagaan parti.

“Ada banyak masalah. Macam-macam perkara yang kita cuba selesaikan tidak boleh ikut dan buat pandai-pandai, jadi kita buat keputusan untuk dua bahagian ini dibubarkan. Ini merupakan proses untuk memperkemaskan supaya tidak timbul masalah dalam parti kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini