KUALA LUMPUR 27 Sept. – Pengeluar bir Kingfisher, United Breweries Group mengesahkan bir keluaran mereka bebas bahan kimia yang menyebabkan kematian 37 individu baru-baru ini.
Penasihatnya, S. Chandran berkata, syarikat tersebut telah menghantar sampel minuman keras tersebut kepada makmal ujian di India dan mendapati 100 peratus bebas metanol.
“Kami juga telah disahkan bebas metanol oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini, namun masih ada pihak tidak bertanggungjawab menularkan dalam media sosial mengatakan produk kami mengandungi bahan kimia itu.
“Syarikat akan membuat laporan polis supaya tindakan dapat diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Menara Safuan, di sini hari ini.
Menurut Chandran, syarikat tersebut mengalami kerugian teruk sejak empat hari lalu selepas beberapa rakaman audio serta video menunjukkan beberapa tin bir Kingfisher ditemukan disebuah dari beberapa lokasi kejadian yang disebar dalam media sosial.
“Kami mencatatkan jualan paling teruk sejak berita tidak benar itu tular memandangkan bir tersebut telah dijual beberapa dekad lalu di Malaysia dan Singapura.
“Semalam di Singapura, jualan kami sifar,” ujarnya kesal. – UTUSAN ONLINE











